suria

Penjelasan Jelas Dan Ikhlas Najib Dalam Taklimat Tertutup Bersama Perwakilan

Najib (dua kiri) kelihatan ceria selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil Umno bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di PWTC pada Ahad petang.

KUALA LUMPUR: Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan beberapa isu negara dan menangkis serangan-serangan yang dilemparkan kepadanya mula menampakkan hasil.

Tidak pernah berputus asa dalam memberi penjelasan mengenai beberapa isu yang hebat diperkatakan, termasuklah isu 1MDB, terbaharu Najib tampil memberi penjelasan kepada wakil-wakil Umno bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam satu taklimat tertutup yang dinamakan sebagai Majlis Penerangan Perdana yang diadakan pada petang Ahad, Perdana Menteri telah mengambil inisiatif dengan bertemu sendiri dengan ketua penerangan Umno bahagian dari seluruh negara dan wakil NGO untuk memberi penjelasan terperinci mengenai beberapa isu yang menjadi kebimbangan rakyat.

Taklimat tertutup itu bermula pada pukul 2 petang dan difahamkan ia dimulakan dengan sesi penerangan dan soal jawab perserta bersama wakil dari Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Kehadiran Najib sememangnya ditunggu-tunggu perwakilan dan menjadi kemuncak kepada majlis yang berlangsung dengan tenang itu.  

Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan masuk dan membuat rakaman taklimat tersebut.

Najib yang mengenakan kemeja Umno berwarna merah tiba kira-kira pukul 4.30 petang dan terus menuju ke Dewan Tun Hussein Onn untuk bertemu para perwakilan, seterusnya memberi penjelasan dan penerangan mengenai beberapa isu berbangkit.

Difahamkan, antara isu yang disentuh termasuklah isu 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Taklimat berlangsung selama kira-kira 45 minit dan beliau keluar dari dewan pada pukul 5.20 petang diiringi Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri.

Tanpa bercakap dengan pihak media, Najib bagaimanapun kelihatan ceria dan sempat melambaikan tangannya ke arah wartawan, jurugambar dan perwakilan sebelum meninggalkan perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Jamawi Jaafar yang ditemui selepas taklimat berkata semua perwakilan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh presiden parti.Katanya, sememangnya majlis tersebut telah lama ditunggu-tunggu oleh jentera penerangan Umno di seluruh negara.

“Berdasarkan maklum balas semasa beliau memberi penjelasan dan beliau sendiri bertanya kepada hadirin beberapa kali, dapat dilihat keikhlasannya dan peserta.

“Saya yakin penjelasan inilah yang kita tunggu-tunggu selama ini akhirnya ia dapat diberikan sebaiknya oleh presiden,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar turut berpandangan sama dengan menyatakan penerangan yang diberikan oleh Najib cukup jelas.

“Cukup jelas apa yang PM jawab dan kita akan terangkan kepada rakyat apa yang diterangkan oleh PM. Kebanyakan yang diterangkan pada hari ini adalah isu-isu sama yang sering dibangkitkan di Parlimen,” katanya.

Wakil NGO, Hasan Hamzah pula berkata taklimat tertutup itu semenangnya telah memberikan kepuasan kepada perserta yang selama ini menganggap negara dianda krisis kritikal.

“Kita berpuas hati. Sebenarnya isu-isu yang timbul ini telah diputarbelitkan, harap rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,” katanya.

Najib Tun Razak, PWTC

Artikel Lain