suria

Tiada Guna Buat Kenyataan Tanpa Dokumen - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
PETALING JAYA: Tiada gunanya jika kenyataan dibuat tanpa disertakan dengan sebarang bukti dokumentasi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan dengan wang yang dipinjam oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri itu berkata, selagi tidak ada bukti bahawa semua pelaburan dan pembayaran telah dibuat oleh 1MDB, wang yang dipinjam perlu dianggap telah hilang.

Dalam posting di blog chedet.cc, Dr Mahathir berkata selain pengambilalihan loji kuasa, tanah kerajaan di Kuala Lumpur dan tanah persendirian di Pulau Pinang, tidak ada bukti lain telah ditunjukkan berhubung dengan pelaburan 1MDB.

Bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan tentang pelaburan di Kepulauan Cayman, dengan mendakwa bahawa 1MDB tidak melabur secara langsung dan bahawa wang itu seolah-olah telah hilang kepada syarikat Hong Kong yang dimiliki oleh Jho Low.

"Kemudian kita diberitahu oleh Perdana Menteri sebenarnya dana itu hanya direkodkan di Kepulauan Cayman. Wang itu di tempat lain, mungkin di Hong Kong. Ia nampaknya dilabur dalam dana lindung nilai di Hong Kong," katanya.

"Adakah di Singapura atau adakah AS$1 bilion dolar (RM3.7bilion) telah hilang?" tanya beliau, menunjukkan percanggahan jawapan tentang di mana wang itu berada.


Dr Mahathir juga mempersoalkan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi.

"Kemudian PetroSaudi dikatakan telah membeli aset PetroSaudi International, yang tidak dimiliki oleh PetroSaudi.

"JV di antara 1MDB dan Petro Saudi kemudiannya meminta 1MDB untuk membayar AS$700 juta (RM26.2 bilion) bagi menyelesaikan pinjaman daripada Petro Saudi International untuk PetroSaudi.


"Pemilikan medan minyak di Argentina dan Kazakhstan (atau adakah ia Turkmenistan) tidak begitu jelas.

"Kemudian tiba-tiba bayaran AS$300juta (RM11.2 bilion) oleh 1MDB ditukar kepada pinjaman Murabaha. AS$300 juta ini seolah-olah telah bertukar tangan dengan kelajuan sepantas kilat.


"Kita benar-benar tidak tahu di mana ia berada. Dan 1MDB pun tidak akan memberitahu kita," katanya.
1MDB, Tun Dr Mahathir Mohamad

Artikel Lain