suria

CWC MIC Tak Iktiraf Keputusan Palanivel, Subramaniam Ambil Alih Jawatan Presiden

Subramaniam ambil alih tugas Presiden berkuat kuasa serta merta.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC penggal 2009-2013 yang diadakan di Wisma MIC di sini pada Selasa tidak mengiktiraf keputusan Presidennya, Datuk Seri G Palanivel yang menggantung 14 pemimpin parti itu selama setahun.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, perkara ini diputuskan jawatankuasa tersebut dalam mesyuarat yang diadakan di lokasi sama sebentar tadi selepas mendapati Palanivel melanggar Perkara 91 Perlembagaan parti kerana mengheret masalah dalaman parti itu ke mahkamah tanpa persetujuan ahli CWC yang sah.

"Kami semua berada di sini. Kami tidak mengiktiraf keputusan itu. Dalam perlembagaan parti (Perkara 91), kalau seseorang yang pergi mahkamah tanpa persetujuan ahli CWC (yang sah), maka ia jelas melanggar perlembagaan parti," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Malah, beliau berkata, pengguguran Palanivel sebagai ahli MIC sudah dimaklumkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) pada Mac lalu.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat menjelaskan jawatankuasa tersebut turut mendapat pandangan dua firma guaman mengenai keputusan menggugurkan Palanivel dan empat ahli lain yang membantah keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar pemilihan semula diadakan.

"Kami rujuk perkara ini ke dua firma guaman dan kedua-duanya mengesahkan pengguguran itu (jawatan).

"Tak perlu sesiapa beritahu pasal itu (keahlian terlucut), ia secara automatik (apabila melanggar perlembagaan parti). Maka Palanivel tiada lagi kuasa untuk buat keputusan," katanya.

Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut sebulat suara bersetuju jawatan presiden diambil alih Subramaniam berkuatkuasa pada Selasa sehingga proses pemilihan semula peringkat cawangan dan jawatan tertinggi parti itu diselesaikan hujung Oktober ini.

"Timbalan Presiden akan melakukan tugasnya (ambil alih tugas presiden)," katanya.

Pada masa sama, Subramaniam yang juga menteri kesihatan turut mengumumkan pemilihan semula parti itu tetap akan diteruskan mengikut jadual bulan depan.

"Pemilihan semula akan diadakan dengan peringkat cawangan pada 17, 18 dan 19 Julai dan semua jawatan akan diselesaikan pada hujung Oktober ini," katanya.

Namun, beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan terlebih dahulu menulis surat kepada RoS kerana tempoh yang diberikan untuk mengadakan pemilihan semula telah berakhir.

"Pendaftaran parti ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja sekarang jika mereka (RoS) mahu berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata, beliau akan tetap bertanding untuk merebut jawatan Presiden.

"Ya (tanding), jawatan No.1, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini," katanya.

Bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang, Subramaniam berkata, jawatankuasa tersebut akan melantik firma audit untuk mengaudit proses pemilihan semula itu agar ia dilakukan secara telus.

"Kita perlu memberi perhatian terhadap perkara ini. Kita akan melantik firma audit untuk mengaudit proses (pemilihan) bagi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya.

CWC MIC, Palanivel, Subramaniam

Artikel Lain