PETALING JAYA: Umno Kelantan menyifatkan hasrat DAP untuk membaik pulih sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang sebagai tipu helah politik parti itu. Sehubungan itu, Pengerusi Biro Agama Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki meminta parti pembangkang itu tidak memutarbelitkan fakta dan tidak bermain dengan sentimen agama dengan mempolitikkan isu masjid yang merupakan rumah ibadah bagi umat Islam. Katanya, institusi masjid perlu diurus dan dijaga oleh umat Islam sendiri dan kekal sebagai tempat yang bebas daripada unsur politik. "Mengumumkan pembinaan masjid seolah-olah tidak mendapat pembelaan orang Islam hanyalah satu kenyataan yang memperlihatkan DAP sengaja meremehkan usaha pembangunan masjid oleh umat Islam selama ini. "Kita menghargai bantuan masyarakat bukan Islam dalam membantu mangsa banjir, namun DAP bukan mewakili masyarakat bukan Islam lantaran sikap mereka selama ini cenderung mempolitikan isu agama yang boleh menjejaskan kestabilan masyarakat," katanya. Asyraf Wajdi berkata, masjid tersebut telah dibangunkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cakna UT dengan bantuan dan sumbangan orang ramai dan ketika ini memerlukan peruntukan tambahan untuk dibaik pulih sebelum Aidilfitri. "Perkara ini sudah disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani yang telah pun berbincang dengan pihak NGO, mereka juga telah memohon secara rasmi kepada Tabung Pemulihan Mangsa Banjir Kelantan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, Selasa. Asyraf yang juga Pengerusi Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan mengakui telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagaimana dipohon. Tambahnya, tabung tersebut ditubuhkan sejak Januari 2015 dengan tujuan untuk membaik pulih seluruh masjid dan madrasah di Kelantan tanpa mengira ideologi dan fahaman politik. Kata Asyraf lagi, tabung yang diselenggarakan oleh Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim) ini telah mengeluarkan kos keseluruhan sebanyak RM4.3 juta bagi membaik pulih sebanyak 98 masjid dan 170 buah madrasah yang terjejas akibat banjir. "Berkenaan isu berbangkit ini, pihak tabung akan menyediakan bantuan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih masjid tersebut dilakukan tanpa sebarang kekangan," katanya.