suria

Pagi Palanivel Gantung Subra, Petang Subra Pecat Palanivel

Palanivel dipecat sebagai ahli MIC kerana melanggar Perlembagaan parti.

KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas mengumumkan penggantungan 14 pemimpin MIC selama setahun, Presiden parti itu, Datuk Seri G Palanivel menerima tamparan hebat apabila beliau sendiri digugurkan sebagai ahli parti berkenaan.

Berita mengejutkan ramai itu sekali gus menyaksikan krisis kepimpinan yang melanda MIC kini semakin parah dan belum ada penghujungnya.

Keputusan menggugurkan Palanivel itu diputuskan petang Selasa, selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC penggal 2009-2013.

Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam yang turut tersenarai antara pemimpin yang digantung itu pada sidang media menjelaskan, pengguguran Palanivel itu sudah dimaklumkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) pada Mac lalu.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatankuasa tersebut turut mendapat pandangan dua firma guaman mengenai keputusan menggugurkan Palanivel dan empat ahli lain yang membantah keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar pemilihan semula diadakan.

"Kami rujuk perkara ini kepada dua firma guaman dan kedua-duanya mengesahkan pengguguran itu (jawatan).

"Tak perlu sesiapa beritahu pasal itu (keahlian terlucut), ia secara automatik (apabila melanggar perlembagaan parti). Maka Palanivel tiada lagi kuasa untuk buat keputusan," katanya yang turut memaklumkan jawatankuasa sama tidak mengiktiraf keputusan Palanivel menggantung 14 pemimpin parti itu.

Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut sebulat suara bersetuju jawatan presiden diambil alih Subramaniam berkuatkuasa serta merta sehingga proses pemilihan semula peringkat cawangan dan jawatan tertinggi parti itu diselesaikan hujung Oktober ini.

"Timbalan Presiden akan melakukan tugasnya (ambil alih tugas presiden)," katanya.

Pada masa sama, Subramaniam yang juga menteri kesihatan turut mengumumkan pemilihan semula parti itu tetap akan diteruskan mengikut jadual bulan depan.

"Pemilihan semula akan diadakan dengan peringkat cawangan pada 17, 18 dan 19 Julai dan semua jawatan akan diselesaikan pada hujung Oktober ini," katanya.

Namun, beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan terlebih dahulu menulis surat kepada RoS kerana tempoh yang diberikan untuk mengadakan pemilihan semula telah berakhir.

"Pendaftaran parti ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja sekarang jika mereka (RoS) mahu berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata, beliau akan tetap bertanding untuk merebut jawatan Presiden.

"Ya (tanding), jawatan No.1, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini," katanya.

Bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang, Subramaniam berkata, jawatankuasa tersebut akan melantik firma audit untuk mengaudit proses pemilihan semula itu agar ia dilakukan secara telus.

"Kita perlu memberi perhatian terhadap perkara ini. Kita akan melantik firma audit untuk mengaudit proses (pemilihan) bagi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya.






Palanivel, Subramaniam, MIC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain