suria

Stok Kurma Keutamaan Peniaga Menjelang Ramadan

KUALA LUMPUR: Sinonimnya kurma dengan Ramadan tidak dapat dinafikan lagi dan sebagai makanan sunnah tentunya ia mendapat permintaan tinggi menjelang bulan mulia ini.

Bagi golongan peniaga, sudah pastinya penyediaan stok kurma yang mencukupi suatu kemestian bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sejak beberapa minggu lalu, tinjauan mStar Ramadan mendapati majoriti premis di sekitar Lembah Klang mula menjual pelbagai jenis kurma sebagai persiapan awal menjelang Ramadan.

Menurut Pengurus Wisma Haniffa Sdn Bhd, Mohd Ikbal, syarikatnya mula membuat persiapan menjelang Ramadan dengan mengambil stok pelbagai jenis kurma sebanyak 7.2 tan yang diimport dari luar negara.

"Bekalan kurma yang dijual seperti kurma Nabi, Maryam, kurma Safawy dan kurma madu semuanya diimport daripada Iran, Dubai dan Tunisia," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada Isnin.

Tambahnya, antara kurma yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai adalah kurma Madu Mozafati yang dijual pada harga RM7.20 dan kurma tangkai An-Nur (RM10.90) yang menepati kehendak pembeli.

"Kedua-dua jenis kurma ini sentiasa menjadi pilihan utama pembeli, malah kami mampu menjual lebih 2,000 kotak kurma dalam tempoh sehari.

"Disamping itu, kami turut menjual kurma eksotik seperti kurma disalut coklat, kurma walnut, kurma kismis, kurma coklat susu dan sebagainya," katanya mengenai kurma pilihan pembeli masa kini.

Menurut Mohd Ikbal, penyediaan tempat khas untuk menjual kurma adalah antara persiapan yang dilakukan setiap tahun menjelang Ramadan bagi memudahkan orang ramai.

"Seperti tahun sebelum ini, kami akan pastikan sebelum stok kurma habis, tambahan tempahan dibuat supaya tidak berhadapan kesulitan," katanya.

Dalam pada itu, pemilik kedai kurma Nafifood, Jamilah Ali Sahlan berkata, kebiasaannya beliau membuat persiapan awal dengan menempah stok kurma sebulan sebelum Ramadan.

"Bagaimanapun, ruang kedai yang terhad menyebabkan hanya kira-kira 100 kilogram ditempah dan stok itu biasannya habis dalam masa seminggu sahaja.

"Jadi, saya akan sentiasa membuat tempahan dari masa ke semasa bagi mengelak kehabisan stok kurma," katanya sambil memberitahu kedainya turut menjual pelbagai jenis kurma kering dan segar.

Bercerita lanjut, Jamilah memberitahu Maryam dan Safawy yang dijual pada harga RM40 sekilogram adalah antara kurma yang menjadi pilihan utama pembeli di kedainya, selain buah ara kering dan kurma Nabi.

"Saya memang tidak menaikkan atau menurunkan harga kerana saya mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa membeli kurma di kedai saya setiap tahun," katanya.


kurma, Ramadan, Haniffa

Artikel Berikut

Artikel Lain