KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan ahli Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan protes di luar Parlimen mengakibatkan Datuk Bung Moktar Radin naik angin. Protes itu diadakan kerana mereka kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan bersifat seksis Bung terhadap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR. Lebih mengejutkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengugut dengan mengatakan "ada antara mereka yang tidak akan hidup" jika dia ada di rumah. Malahan Bung juga mahu mengheret Zuraida kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana bersikap "biadab". "Sekumpulan wanita mencerobohi rumah saya dan menjerit "Reformasi". "Walaupun ada laporan polis, ia tetap biadab. Jika saya ada di sana, mungkin ada yang tidak akan hidup," katanya ketika mengetengahkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) di Dewan Rakyat. Ketika Bung sedang bercakap, beberapa Ahli Parlimen lelaki termasuk Tian Chua (PKR-Batu) dan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) bangun mencelah hingga menyebabkan Bung melenting. "Kamu diam! Jangan cabar saya. Jika kamu anak jantan, keluar dan kita lihat siapa yang menang," jerit Bung. Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memulakan tugas kemudian mengarahkan kedua-duanya bertenang. "Jika situasinya panas, jangan pula disimbah minyak. Apakah ini sikap seorang Yang Berhormat? "Bagi saya, isu antara Kinabatangan dan Ampang telah selesai. Kamu boleh berucap berapi-api tetapi jangan melanggar Peraturan Mesyuarat," katanya. Terdahulu kira-kira pukul 10 pagi, sekumpulan ahli Wanita PKR itu berkumpul di luar Parlimen mendesak Bung supaya memohon maaf kepada Zuraida kerana kenyataannya yang bersifat seksis itu.