suria

Yusof Tidak Gentar Dibunuh Mafia Yasin

ALOR SETAR: Walaupun keselamatan diri dan anggota keluarganya berdepan bahaya selepas beliau mendedahkan identiti 'Yassin", dalang utama kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, namun Yusof Ali tidak gentar.

Timbalan Pengerusi Rohingya Society Malaysia, Kedah (RSM) itu berkata beliau tidak takut dengan mereka.

"Saya tidak takut mati. Mereka boleh pukul saya, ugut saya, tetapi saya tetap akan lawan dengan ini ejen-ejen (sindiket pemerdagangan manusia)," katanya kepada Bernama.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu berkata, bahaya yang menantinya berikutan pendedahan tentang "Yassin" tidak penting dibandingkan dengan nyawa yang mampu diselamatkan.

Menurut Yusof, jika pendedahannya tentang "Yassin" itu mampu menyelamatkan pendatang Rohingya daripada terus menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, maka beliau akan terus melakukannya.

"Nyawa saya tidak penting. Apa yang lagi penting adalah menghapuskan sindiket pemerdagangan manusia ini, daripada dalang utama, ejen-ejen sehinggalah orang-orang suruhannya," katanya, yang tinggal di Malaysia sejak 1986.

Beliau mengakui ejen-ejen sindiket serta orang suruhan mereka termasuk yang bekerja dengan "Yassin" berada di mana-mana termasuk di Kedah dan berkemampuan "berbuat sesuatu" terhadapnya jika mereka mahu.

Setakat ini, katanya, beliau dan keluarganya belum lagi menerima sebarang ancaman secara fizikal daripada konco-konco sindiket yang tidak berpuas hati dengan pendedahannya tentang "Yassin" itu.

Di dalam satu pertemuan eksklusif dengan Bernama bulan lepas, Yusof mendedahkan pendatang-pendatang Rohingya yang ditahan di kem-kem transit di Wang Kelian dalam keadaan menyedihkan itu telah "dibeli" oleh seorang ejen sindiket dikenali dengan nama "Yassin".

Beliau mendedahkan bahawa pendatang-pendatang yang dikurung dalam kandang itu, kemudiannya akan dijual kepada ejen-ejen lain dengan harga lebih tinggi bagi mengaut keuntungan berlipat-ganda.

"Yassin" menurutnya, berusia dalam pertengahan 30-an dan berasal dari Myanmar tetapi tinggal di selatan Thailand untuk berada dekat dengan operasi pemerdagangan manusia yang dijalankannya.

Berikutan pembongkaran kegiatan sindiket pemerdagangan manusia oleh pihak Thailand dan liputan meluas media, beliau dipercayai telah meloloskan diri ke Myanmar untuk bersembunyi, kata Yusof.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa Thailand telah menyerahkan beberapa individu dipercayai menjadi dalang utama kepada sindiket pemerdagangan manusia kepada Malaysia.

Bagaimanapun "Yassin" menurutnya masih bebas dan Malaysia telah meminta bantuan Bangkok untuk menjejaki beliau serta menangkapnya.

Menurut Yusof, beliau dan rakan-rakannya daripada RSM Kedah mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak polis dan sentiasa bekerjasama menyalurkan maklumat tentang jenayah pemerdagangan manusia membabitkan bangsa Rohingya.

Yusof berkata, sebahagian besar daripada pendapatan bulanannya juga digunakan untuk membantu pendatang Rohingya yang menjadi mangsa kepada sindiket pemerdagangan manusia itu.

"Boleh datang ke rumah saya dan lihat keadaan rumah saya, tidak ada apa-apa (perabot dan perkakasan). Saya gunakan duit gaji saya untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Yusof berkata rumahnya, juga dijadikan perlindungan kepada mangsa-mangsa sindiket yang mengalami kecederaan teruk akibat dipukul ejen-ejen dan orang suruhan mereka akibat kegagalan menjelaskan bayaran.

Mangsa-mangsa itu menurutnya, ditinggalkan di tepi-tepi jalan dalam keadaan tidak mampu berjalan dan bergerak selepas teruk dipukul oleh anggota sindiket terbabit.

"Saya dan rakan akan bawa mereka (mangsa) balik ke rumah atau bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ada yang baik (pulih) selepas satu dua bulan dan ada yang meninggal dunia akibat kecederaan," katanya.

Sehingga hari ini, katanya, beliau telah membawa balik lima mangsa terdiri daripada pendatang Rohingya yang mengalami kecederaan teruk akibat dipukul anggota sindiket dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan raya.

Rohingya, Yasin, Wang kelian

Artikel Lain