suria

Pemandu Maut, Kelindan Cedera Ringan

IPOH: Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera ringan selepas kenderaan itu terbabas dan melanggar belakang sebuah lori lain di kilometer 291 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi Khamis.

Norisham Shaari, 33, yang cedera parah, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala Low Kee Poo, 64, turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

"Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori membawa muatan barangan elektrik yang sedang bergerak di lorong kiri jalan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata pemandu lori terbabit K. Narainan, 46, dan kelindannya, K. Vasuthevan, 48, tidak cedera.

Lebuh raya, Plus, Ipoh

Artikel Lain