suria

Pemandu Teksi Hadapi Pertuduhan Terlibat Pemerdagangan Manusia

KANGAR: Seorang pemandu teksi yang berdepan dakwaan mengangkut tujuh pendatang asing tanpa izin, terpaksa meringkuk di pusat tahanan sehingga mahkamah membuat keputusan pada 25 Jun ini sama ada untuk membenarkan dia diikat jamin.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kangar Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan peguam Lim Wei Yong yang mewakili Lee Ngan Chea, 70, dari Bintong, dekat sini.

Lim memohon kepada mahkamah supaya membenarkan anak guamnya diikat jamin berikutan faktor usia yang tidak membolehkannya duduk lama dalam tahanan.

Lee ditahan di Pusat Koreksional Jabatan Penjara di Kok Klang di Arau iaitu tempat dia ditahan selepas diberkas pada 5 Mei lepas.

Peguam itu berhujah Lee tidak wajar dipersalahkan kerana dia tidak dibekalkan alat untuk memeriksa ketulenan dokumen atau pasport pelanggan yang menaiki teksinya.

"Lagi pelik, pemandu teksi tidak diberitahu mengenai tanggungjawab mereka dalam perkara ini (periksa dokumen PATI). Bagaimana mereka boleh tahu pendatang ini PATI atau tidak tetapi apabila ditangkap dituduh mengangkut PATI," hujahnya.

Lee ditangkap di Jalan Baharu Wang Kelian, Kaki Bukit, atas dakwaan mengangkut tujuh migran warga Myanmar dipercayai ethnik Rohingya yang diseludup iaitu tiga lelaki dan empat wanita pada pukul 1 pagi 5 Mei lepas.

Pendatang asing itu ialah Nur Muhamad, 35, Hamidullah, 35, Jahitalam, 18, manakala perempuan ialah Gulbahal, 25, Umahasais, 14, Bolsan, 15, dan Jawa Habibi, 2 tahun.

Pemandu teksi itu didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), yang boleh dihukum menurut akta sama iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika kes itu mula disebut di Mahkamah Majistret Kangar pada 28 Mei lepas, Lee mengaku tidak bersalah dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif yang menjalankan pendakwaan tidak menafikan hak tertuduh untuk dijamin dan dipasang peranti pengawasan namun kaedah itu tidak dapat dilaksanakan kerana teknologi itu belum dimiliki walaupun diperuntukkan oleh undang-undang.

Pemerdagangan Manusia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain