suria

Perampas MT Orkim Harmony Minta Dilepaskan Sebagai Tuntutan Bebaskan Kru

Perampas yang bertutur dialek Indonesia dilaporkan menukar warna dan nama MT Orkim Harmony kepada Kim Harmon.

KUALA LUMPUR: Perampas kapal tangki MT Orkim Harmony meminta supaya mereka dilepaskan sebagai tuntutan untuk mereka membebaskan kru kapal itu, kata Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid.

Beliau berkata, buat masa ini TLDM sedang berkomunikasi dengan mereka menggunakan frekuensi radio.

"Mereka tidak benarkan TLDM dan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) menghampiri kapal berkenaan demi keselamatan kru kapal.

"Kami terpaksa berada pada jarak lima batu nautika dari kapal itu untuk memastikan kesemua kru selamat dan tidak diapa-apakan. Kesemua kru selamat.

"Mereka perompak (perampas) minta dibebaskan dengan selamat dan tidak ditangkap serta dicederakan," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

"Mereka dipercayai ingin merampas minyak RON95 dan dijual kepada sindiket tertentu," katanya sambil menambah agensi lain yang terlibat adalah APMM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.-- Bernama


Orkim Harmony, TLDM, APMM

Artikel Lain