suria

Perasaan Bercampur Bagi Keluarga Kru MT Orkim Harmony

ALOR GAJAH: Perasaan keluarga dua anak kapal MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas dan ditemukan hari ini, bercampur baur antara lega dan bimbang.

Samsiah Baba, 60, ibu kepada Nor Fazly Sahat, 39, kapten kapal itu, berkata beliau berasa lega apabila mendapat berita kapal berkenaan ditemukan dan kesemua anak kapalnya selamat, namun pada masa sama hatinya masih berasa bimbang.

"Selagi makcik tidak lihat anak makcik di depan mata, selagi itu hati makcik belum lega sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Khamis.

Samsiah berkata dalam masa beberapa hari ini, beliau dan suaminya akan tinggal di rumah saudara di Kuala Lumpur kerana ia berhampiran dengan pusat informasi dan mudah mendapatkan maklumat.

"Makcik berdoa dan berharap mereka semua dapat ditemui dalam keadaan  selamat dan Ramadan kali ini dapat berjumpa dan bersama dengan boy (Fazly)," katanya.

Sementara itu, Tan Tiong Chan, 55, bapa kepada Tan Chee Hau, 23, kru enjin kapal itu, berkata dia berasa lega setelah mendengar berita mengenai penemuan kapal tersebut dan kesemua krunya selamat.

Tiong Chan berkata, dia hanya mengetahui berhubung berita baik itu melalui seorang kenalan yang memaklumkan kepadanya kira-kira 10 pagi tadi, dan beliau terus menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Pihak Maritim (APMM) beritahu kapal tangki tersebut sedang dalam pemantauan untuk dibawa pulang ke negara ini. Namun saya tetap bimbang dengan keselamatan anak saya dan semua anak kapal itu," katanya ketika ditemui di Pengkalan Balak di sini, Khamis.

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid mengesahkan kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lepas, disahkan ditemukan di perairan Kemboja hari ini dengan kesemua 22 anak kapalnya selamat.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 8.57 malam, 11 Jun ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan.

Kapal yang dimiliki syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia serta rakyat Indonesia dan Myanmar.-- Bernama


Artikel Lain