suria

Air Tebu, Murtabak Ayam Pilihan Najib Di Bazar Ramadan Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membeli air tebu semasa mengunjungi Bazar Ramadan Putrajaya selepas merasmikan Festival Ramadan Putrajaya, Khamis. Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Dr Aseh Che Mat (kanan).

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 di sini.

Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau bazar tersebut yang menempatkan 300 lot niaga.

Pada kesempatan itu, perdana menteri turut membeli dua jag air tebu dan sekeping murtabak ayam 'legend'.

Peniaga air tebu berkenaan, Mohd Asri Jamaluddin, 35, berasa terkejut dan teruja apabila gerainya dikunjungi pemimpin nombor satu negara.

"Tak sangka perdana menteri datang gerai ini dan bayar sendiri air yang dibeli," katanya yang berasal dari Bera, Pahang.

Terdahulu, Najib merasmikan Festival Ramadan Putrajaya melibatkan kawasan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Kiblat Walk dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 yang berlangsung mulai hari ini hingga 16 Julai.

Festival itu antara lain bertujuan menarik pelancong dan pengunjung ke Putrajaya selain menjadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu sebagai lokasi alternatif untuk mendapatkan barang keperluan bagi sambutan Aidilfitri.

Sebanyak 92 unit kiosk jualan barangan raya dan 18 gerai menjual juadah berbuka disediakan di sekitar tapak festival selain kemudahan kerusi serta meja untuk pengunjung berbuka puasa.

Pada majlis itu, Najib turut mengedarkan kurma dan bubur lambuk sumbangan PMO Club kepada orang ramai.-- Bernama


Artikel Lain