KUALA LUMPUR: Kru kapal tangki Orkim Harmony yang dirompak dan ditemui semula dalam keadaan selamat pada awal pagi Jumaat akan dipanggil untuk membantu siasatan. Pemangku Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, keterangan anak-anak kapal yang terselamat akan diambil untuk membantu pihak berkuasa. Katanya, kerjasama 22 kru kapal itu perlu untuk melengkapkan siasatan dan menentukan motif rompakan, seterusnya menahan dalang kes tersebut. Malahan, katanya, pihak berkuasa tidak akan membuat andaian selagi siasatan belum selesai. "Akan ada siasatan membabitkan anak-anak kapal dan satu siasatan akan dibuat untuk mengetengahkan motif sebenar rompakan. "Setakat ini jangan buat andaian sehingga pihak berkuasa membuat konklusif siasatan," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Ihya' Ramadan dan mengagihkan sumbangan zakat ATM kepada masjid dan surau-surau ATM tahun 2015 di Masjid Khalid al-Walid di sini, Jumaat. Mengenai lanun yang berjaya melepaskan diri, beliau yang juga Panglima Tentera Darat percaya mereka akan dapat ditangkap. "Saya rasa perompak-perompak yang membuat angkara itu lambat-laun akan ditangkap juga. "Yang penting sekarang semua kru selamat dan dapat bertemu keluarga masing-masing," katanya. Mengenai operasi memburu, beliau berkata, ia melibatkan kerjasama antarabangsa dan bantuan beberapa agensi penguatkuasa. Katanya, setakat ini, operasi bersama telah membuahkan hasil yang baik tanpa ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa. "Ia adalah rangkaian pertolongan kerana melibatkan perairan antarabangsa. "Perompak mungkin ke Natuna di Kepulauan Indonesia atau mungkin ke Vietnam, yang jelas ia melibatkan pertolongan negara lain dan di sini Wisma Putra memainkan peranan," katanya.