suria

Ramadan Ubah Rutin Pelajar IPT

SHAH ALAM: Tanpa disedari, Ramadan mengubah rutin harian pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) - boros bertukar jimat, bagi yang malas memasak pula akan rajin ke dapur, malahan ada juga bergelar usahawan dengan sekelip mata.

Segalanya dek penangan bulan penuh keberkatan ini, disusuli dengan semangat untuk meraikan kemenangan menjelang Aidilfitri.

Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila tiba-tiba seseorang itu ke hulu ke hilir menjaja kuih, tudung, telekung dan pelbagai lagi, asalkan dapat mengumpul wang bagi bertambah meriah sambutan hari raya di kampung halaman masing-masing.

Pelajar jurusan sarjana muda Komunikasi Instruktional dan Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azie Kidam, 25 mengakui sentiasa menantikan kehadiran Ramadan kerana ia membuka peluang untuk berjimat.

"Memang setiap tahun saya akan menjadikan Ramadan sebagai bulan 'penjimatan' kerana hanya pada bulan itu saya dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian.

"Selalunya sebelum Ramadan perbelanjaan bulanan dianggarkan mencecah RM500, namun menjelang Ramadan, saya mampu berjimat dan mengurangkan kos perbelanjaan kepada RM300 sebulan," katanya ketika ditemui mStar Online di sini, pada Selasa.

Tambah pula, Azie tidak menginap di asrama, sebaliknya menyewa sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini bersama tujuh rakannya yang juga penuntut IPT sama.

"Saya menyewa rumah bersama rakan yang lain dan menjelang Ramadan nanti, kami bercadang untuk berkongsi duit membeli barangan dapur dan memasak supaya tidak berbelanja besar di luar.

"Dengan cara ini, lebih mudah untuk saya berjimat kerana tidak perlu keluarkan kos tinggi untuk membeli juadah berbuka puasa, serta sahur," katanya sambil memberitahu setiap seorang penyewa akan menyumbang RM50 untuk membeli barangan dapur. 

Menceritakan lebih lanjut, Azie berkata, dia turut bercadang untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan sepanjang Ramadan di kalangan pelajar bagi menambah sedikit pendapatan.

"Tahun lalu saya jual sandwich semasa Ramadan dan tahun ini saya bercadang untuk menjual shawarma sebagai juadah berbuka," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Lendu, Nadrah Nabilah Iffendi berkata, dia berjimat kerana memikirkan perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri.

"Saya tidak meminta wang lebih daripada ibu bapa kerana tidak mahu menyusahkan mereka, sebab itu jugalah saya berjimat supaya wang simpanan boleh dibelanjakan untuk Aidilfitri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Puchong.

Pelajar berusia 21 tahun itu memberitahu, sebagai penghuni asrama, ia memudahkannya untuk mengurangkan kos harian sepanjang Ramadan.

"Sudah beberapa tahun saya berpuasa di hostel dan ternyata, saya mampu berjimat dan mengurangkan perbelanjaan harian.

"Malah, saya dapat menjimatkan hampir separuh wang saku daripada RM400 yang diperuntukan setiap bulan," katanya.

Selain itu, Nadrah juga mengubah budaya harian dengan mengurangkan amalan berbuka di luar kampus.

"Tambah lagi, saya lebih suka bersederhana dan ingin mengelak pembaziran semasa berbuka puasa," katanya yang sering berbuka di masjid kampus dan seterusnya menunaikan solat tarawih.

Dalam pada itu, bagi Danial Roslan, 23 pula, menetap bersama keluarga paling afdal kerana ia meringankan beban dalam pelbagai hal.

Pelajar jurusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Management and Science University (MSU) berkata, berbuka dan bersahur di rumah adalah suatu kelebihan kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli juadah berbuka mahupun bersahur.

"Saya berulang alik ke rumah di Puchong dari kampus selepas kuliah untuk berbuka puasa dan paling istimewa apabila dapat menikmati air tangan ibu," katanya sambil menambah perbelanjaannya hanya untuk mengisi minyak motor sahaja.

Tambahnya lagi, nafsu untuk berbuka puasa dengan juadah yang enak semestinya sentiasa menghantui dirinya namun dia memilih untuk berjimat dan bersederhana.

"Tidak semua orang lebih-lebih lagi pelajar boleh berjimat cermat semasa Ramadan, lebih-lebih lagi pelbagai juadah dijual di bazar.

"Jadi, saya memilih untuk berbuka di rumah sahaja disamping dapat bersederhana dan makanan yang dimasak oleh ibu lebih terjamin kebersihannya," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Danial berkata, dia hanya berbelanja kira-kira RM200 sahaja sepanjang Ramadan berbanding RM500 kebiasaannya. 


Ramadan, IPT, Lendu, puasa

Artikel Lain