suria

Najib Umum Durian Runtuh RM151.1 Juta Kepada Pekebun Kecil Risda

Najib menyerahkan agihan dividen kepada kepada salah seorang daripada 16,080 peserta Rancangan Tanah Baru Kelompok (RTBB) pada Sabtu.

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkhabaran gembira kepada 32,238 pekebun kecil Risda, antaranya pemberian durian runtuh dividen bernilai RM151.1 juta. 

Agihan dividen itu berjumlah RM43.9 juta kepada sebanyak 16,080 peserta Rancangan Tanah Baru Kelompok (RTBB) dan RM107.2 juta kepada 16,158 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

"Saya harap pemberian dividen ini dapat membolehkan kita lebih selesa untuk sama-sama sambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika majlis penyampaian dividen Risda 2015 di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (Icam) pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Najib berkata kerajaan sentiasa komited dalam membantu meningkatkan pendapatanbulanan serta menaik taraf hidup pekebun kecil yang merupakan kelompok B40 yang memperoleh berpendapatan bulanan purata kira-kira RM2,500. 

Katanya ini ditambah lagi dengan kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit dalam pasaran dunia pada masa kini berikutan kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia.

Berikutan itu juga, kata perdana menteri, kerajaan mengadakan kerjasama eratdengan negara pengeluar untuk meningkatkan nilai eksport dan memastikan pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian baik untuk menambah hasil pengeluaran.

Dalam majlis itu, Najib turut meluluskan Skim Khairat Kematian Pekebun Kecil Risda bernilai RM5.24 juta kepada semua pekebun kecil getah dan sawit yang berdaftar dengan Risda. 

Beliau berkata skim itu bertujuan menjaga kebajikan pekebun kecil serta meringankan bebanan mereka apabila berlaku kematian akibat kemalangan dan sakit.

Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2juta untuk dana permulaan Yayasan Risda. 

Beliau berkata penubuhan yayasan itu bagi menyalurkan bantuan atau kemudahanuntuk aktiviti pendidikan, sukan, sosial dan kebajikan pekebun kecil, keluarga dan kakitangan agensi itu serta syarikat milikannya.

"Kita akan menambah peruntukan kepada yayasan ini dari semasa ke semasa,"katanya.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan dapat menampung kekurangan hasil negara ekoran penurunan harga minyak dan gas dengan hasil yang diperoleh menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Ini antara sebabnya kerajaan laksanakan GST, bukan tujuan untuk susahkan rakyat tetapi sebenarnya untuk kebaikan dan kebaikan itu orang tidak nampak, malah lempar pelbagai tuduhan," katanya.

Artikel Lain