KUANTAN: Polis menahan dua lelaki tempatan dan 12 wanita warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad 3 di sini awal pagi Ahad. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Pemangku SAC Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil maklumat orang awam pihaknya membuat serbuan ke atas premis tersebut pada pukul 12.50 pagi. "Berdasarkan maklumat awal, restoran ini berkonsepkan sebuah pusat hiburan yang didapati tiada lesen hiburan dan menggaji wanita asing tanpa permit kerja. "Semasa serbuan, semua wanita terbabit sedang leka melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran sepasukan anggota polis di dalam premis berkenaan. "Siasatan awal mendapati 12 wanita berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu juga dipercayai menyalah gunakan pas lawatan sosial sebelum melakukan kegiatan tidak bermoral di premis tersebut," katanya Jumaat. Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 40an yang dipercayai bekerja di premis itu turut ditahan. Katanya, kesemua wanita asing itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan. -- BERNAMA