KOTA BAHARU: Tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony, Mawit Matin, 46, yang cedera ditembak lanun dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, Ahad. Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah 10 Kelantan Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata warga Indonesia itu dibenarkan keluar pada pukul 12.30 tengah hari. "Dia kini dibawa oleh anggota APMM ke Kuantan bagi membantu menyelesaikan siasatan ke atas kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan. Mawit yang ditemani abangnya Marsuki Mohamad Rito, 63, dilihat keluar dari hospital berkenaan dan terus dibawa menaiki van oleh anggota APMM. Pemberita tidak dibenarkan menemuramah mangsa. Mawit cedera di paha kiri akibat ditembak lanun ketika beliau dikatakan cuba melawan seorang daripada perampas kapal itu. Sementara itu, Marsuki berkata beliau berharap adiknya itu dapat segera pulang ke Indonesia. "Apa yang penting dia telah selamat, kami sekeluarga bersyukur dia tidak mengalami kecederaan yang serius," katanya. Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lepas ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dirampas lapan orang lanun yang bersenjatakan pistol dan parang berakhir dengan kesemua anak kapal dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat. Kapal itu selamat tiba di Pelabuhan Kuantan kira-kira pukul 7.50 pagi semalam di Dermaga Petronas. Lapan lelaki yang dipercayai perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan pada 6.30 pagi Jumaat.