KUALA LUMPUR: Mahkamah Trafik di sini pada Isnin mengeluarkan perintah supaya semua pihak termasuk media massa tidak mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengenai kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa tiga beranak, bulan lepas. Perintah itu dikeluarkan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan selepas peguam pemerhati C.Leo Camoens yang mewakili keluarga mangsa memohon agar mahkamah mengeluarkan satu perintah bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab membuat kenyataan tidak berasas berkaitan tragedi itu. "Bagi pihak keluarga mangsa, saya memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang telah dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh satu pihak yang menamakan dirinya 'Belia Benci Yana Familia Club' yang membuat kenyataan bahawa kes ini telah selesai tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah. "Ini (kenyataan) menyakiti (hati) seisi keluarga mangsa. Oleh itu untuk keadilan supaya individu yang tidak bertanggungjawab tidak mengulangi khabar angin yang tidak benar, saya memohon dikeluarkan arahan untuk menghentikan perbuatan ini," hujahnya ketika sebutan semula kes dua pemandu Myvi itu. Pada 8 Mei lepas, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayinya Nur Firuza Annisa, enam bulan. Peguam Omar Bakri Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini dan S.N. Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza tidak membantah terhadap permohonan peguam pemerhati itu. Noorul Fhaiez kemudian mengeluarkan perintah tersebut dan melarang semua pihak membincangkan sebarang isu tidak berasas berkaitan kemalangan itu sehingga kes berkenaan selesai. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Malek Fauzie memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu kerana laporan bedah siasat dan laporan kimia masih belum diterima pihaknya. Mahkamah menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes. Turut hadir pada prosiding hari ini (Isnin) ialah anggota keluarga mangsa dan tertuduh. Sementara itu, Mohamad Yusni Husain, 49, abang kepada Fairuz Nizam ketika ditemui pemberita berkata beliau membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan individu tidak bertanggungjawab di laman sosial Facebook itu. "Saya membaca kenyataan dan komen negatif dalam laman Facebook itu dan tanpa pengetahuan kami sekeluarga ada pihak mengatakan kes ini telah pun diselesaikan di luar mahkamah. "Saya terpaksa membuat laporan polis kerana keluarga tidak pernah buat apa-apa perbincangan atau berjumpa sesiapa pun untuk selesaikan kes ini di luar mahkamah," katanya. Ditanya mengenai hak penjagaan dua anak perempuan mangsa iaitu Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 3, Mohamad Yusni berkata pihaknya belum membincangkan mengenai perkara itu dan kedua-dua anak itu masih berada dalam jagaan nenek mereka. Dalam kejadian 2 Mei lepas, kedua-dua tertuduh didakwa hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang dinaiki tiga sekeluarga menyebabkan Fairuz Nizam terbunuh di tempat kejadian, manakala isterinya Nova Safitri serta bayi mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Semasa kejadian, pasangan suami isteri itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Putrajaya.