suria

Tukang Cuci Sumbat Mayat Rakan Dalam Beg

GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya, Mei lalu.

Ita Puspalia, 28, dari Jawa Timur, Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ibrahim Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Siti Maisaroh di Blok 8-06-8, Permai Jaya, Jalan Lembah Permai Tanjung Tokong dekat sini pada pukul 1.30 tengah hari, 9 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh memohon kepada mahkamah agar tidak diberikan jaminan terhadap tertuduh memandangkan wanita itu tiada dokumen pengenalan sah masuk ke Malaysia.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam R.Sankra Krishna  diikat jamin dan menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita yang telah mereput dan disumbat ke dalam kotak dijumpai di tepi Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bungah, di sini.

Mayat, Tanjung Bungah

Artikel Lain