suria

Warga Iran Miliki Replika Kepala Harimau Dibuat Daripada Syabu, Dipenjara

PUTRAJAYA: Seorang pelancong warga Iran yang ditahan di lapangan terbang empat tahun lepas membawa replika kepala harimau yang diperbuat daripada 2.4kg methampetamine atau syabu, terlepas hukuman gantung tetapi diarah menjalani hukuman penjara.

Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar memerintahkan Mohammad Erfan Eshtyaghi Ahmad menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan rotan kerana memiliki dadah itu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Mohammad Erfan bagi tuduhan mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, Mohammad Erfan, 30, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah meminda pertuduhan kepada memiliki dadah. 

Dia diarah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkapan pada 2 Ogos 2011.

Dia pada mulanya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Disember 2012 bagi kesalahan mengedar dadah tetapi pada 17 November 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan membebaskan lelaki itu.

Mohammad Erfan didapati memiliki dadah itu di karusel kaunter F, aras tiga balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Sepang, pada 11 pagi, 2 Ogos 2011.

Berdasarkan fakta kes, warga Iran itu ditahan oleh pegawai narkotik apabila dilihat meninggalkan kawasan pengambilan bagasi dengan hanya satu kotak.

Dia diminta mengimbas kotak itu tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan ditemui.

Pegawai itu kemudian meminta Mohammad Erfan membuka kotak itu dan mendapati ia mengandungi replika kepala harimau seberat kira-kira 8.4kg.

Pegawai itu kemudian mengikis sedikit tepung daripada replika itu dan menjalankan ujian menggunakan alat pengesan methamphethamine dan mendapati ia mengandungi dadah.

Mohammad Erfan mendakwa replika itu bukan miliknya tetapi milik rakannya bernama Majid yang mahu memberi replika itu kepada teman wanitanya (Majid) yang berada di Pulau Pinang sebagai hadiah hari jadi. 

Peguamnya Datuk N. Sivananthan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan berkata Mohammad Erfan dipenjara sejak empat tahun lalu selepas ditangkap dan hukuman gantung itu telah membelenggu fikirannya selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi yang merupakan suatu pengalaman berguna yang memberi pengajaran kepadanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah mengesyorkan hukuman penjara 25 tahun kerana katanya berat dadah adalah 40 kali melebihi had di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohammad Erfan yang memakai baju kemeja berwarna ungu lembut dan berseluar jeans, dilihat turut berdoa dengan suara yang perlahan.

Iran, replika harimau, syabu, penjara

Artikel Lain