suria

YKT Agih Juadah Iftar

KUALA LUMPUR: Sepanjang Ramadan ini, Yayasan Kasih Tauhid (YKT) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada 50 golongan kurang bernasib baik di sekitar Lembah Klang bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas YKT, Puan Sri Fatini Yaacob berkata, ini merupakan tahun kedua program berkenaan diadakan bagi meraikan  golongan itu di mana setiap hari individu berlainan dan di lokasi berbeza akan menerima juadah yang disediakan.

"Kali ini, YKT bekerjasama dengan Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) dalam usaha untuk memberi harapan baru kepada golongan kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa disamping meringankan beban dan mengeratkan hubungan antara badan korporat dengan masyarakat.

"YKT adalah badan korporat pertama di Malaysia yang akan menghulurkan bantuan makanan berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadan kepada golongan memerlukan sekitar Lembah Klang," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Sentuhan Kasih Ramadan Siri 2 di PWTC di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Fatini berkata, program ini adalah inisiatif ulung pihaknya dalam membantu kebajikan serta meraikan golongan ini daripada tidak dipandang rendah masyarakat.

"Saya berharap menerusi program ini, kita dapat menyemai kesedaran serta keinsafan supaya dapat memahami situasi yang dialami golongan kurang berkemampuan yang berhadapan masalah," katanya.

Beliau berkata, sepanjang program itu, sukarelawan YKT akan bertugas untuk mengagihkan bantuan makanan berbuka puasa ke beberapa lokasi yang dikenal pasti setiap hari.


YKT, Puasa, Ramadan

Artikel Lain