KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan satu bentuk pelaburan atas nama penerima BR1M. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, pemberian BR1M adalah bantuan jangka pendek, bermatlamat membantu rakyat berpendapatan rendah untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup, dalam membeli barangan keperluan harian. "Bantuan ini diberi secara menyeluruh kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik. Kriteria BR1M juga bukanlah berdasarkan paras kemiskinan sebaliknya bertujuan memberi subsidi kepada golongan sasar," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong. Boon Som ingin tahu adakah kerajaan bercadang mengkaji semula pelaksanaan BR1M supaya bantuan yang diberikan diganti dengan cara melabur wang terbabit atas nama penerima, bagi membolehkan mereka memperoleh dividen, justeru kerajaan tidak perlu lagi mengeluarkan peruntukan baharu. Tee Yong berkata, Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) juga berpendirian bahawa pemberian subsidi secara terus seperti BR1M adalah lebih bermanfaat berbanding subsidi berbentuk 'blanket', yang melibatkan semua orang termasuk golongan berpendapatan tinggi. "Dulu kerajaan mempunyai subsidi 'blanket' di mana subsidi ini tidak sasar, maka ia menjadi isu kerana ada yang kaya menikmati lebih banyak subsidi. "Jadi tujuan kita bukanlah pemberian semata-mata kepada kategori miskin tetapi melibatkan kategori yang perlu ditolong," kata Tee Yong. Beliau berkata matlamat pemberian bantuan itu adalah bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan memacu ekonomi serta menjana pertumbuhan perniagaan domestik. Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai rancangan kerajaan membantu golongan berpendapatan sederhana yang terbeban dengan kenaikan kos harga barang, beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan golongan itu. "Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 kerajaan sememangnya meletakkan matlamat untuk membantu meningkatkan pendapatan, khusus kepada golongan berpendapatan sederhana," katanya. -- Bernama