PETALING JAYA: Malaysia berjaya membangunkan masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan adil jika dibandingkan dengan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut bekas Perdana Menteri itu, kejayaan tersebut diperakui sebuah majalah AS, Foreign Affairs yang memuji pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Malaysia. "Tindakan afirmatif di bawah DEB seolah-olah telah mengurangkan jurang perbezaan dalam pengagihan kekayaan antara Melayu dan Cina. "Dasar kesamarataan layanan iaitu meritokrasi tidak membuahkan hasil yang ketara. "Tidak seperti pendapat mengenai polisi kadar tukaran tetap Malaysia, nampaknya kini kritikan terhadap tindakan afirmatif kita ditarik balik, sekurang-kurangnya oleh majalah Foreign Affairs," katanya menerusi blog chedet.cc pada Selasa. Menerusi tulisan terbaharunya juga, Dr Mahathir berkata, dasar meritokrasi yang diamalkan di AS menunjukkan masyarakat kulit hitam lebih ketinggalan berbanding kulit putih. Katanya lagi, dasar kesaksamaan dalam masyarakat ternyata gagal membuahkan hasil yang baik walaupun presiden negara itu berkulit hitam. "Realitinya kebanyakan orang kulit hitam miskin, sentiasa terlibat dengan dadah dan jenayah. Walaupun populasi orang kulit hitam hanya kira-kira 10 peratus, namun peratusan masyarakat berkenaan yang berada di penjara hampir 50 peratus. "Pendapatan per kapita orang kulit hitam adalah di bawah purata kebangsaan," katanya.