KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota keluarga beliau pada Rabu memfailkan tindakan undang-undang bagi mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi sabitan kesalahan dalam kes liwat. Bekas ketua pembangkang itu, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua anak perempuannya Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman di Pejabat Mahkamah Tinggi di sini. Permohonan yang difailkan melalui Tetuan Daim and Gamany itu menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. Mereka memohon perintah mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 67. Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarga Anwar serta mempersembahkan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu, adalah tidak sah. Anwar mendakwa keputusan lembaga itu tidak dikemukakan secara bertulis kepada beliau atau anggota keluarga beliau, yang mengemukakan petisyen berkenaan. Katanya, keputusan itu juga tercemar dan tidak terpakai kerana responden kedua, iaitu Peguam Negara, adalah seseorang yang berkepentingan dan mempunyai perasaan benci terhadapnya sejak sekian lama. Anwar berkata Peguam Negara telah memberi hujahnya dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac dan perkara ini disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat. Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya pada 10 Feb kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008. Anwar diwakili peguam N.Surendran dan Latheefa Koya. Wan Azizah, Nurul Izzah dan Nurul Nuha juga hadir.