SINGAPURA: Dua pemuda Malaysia ditahan pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaaan (ICA) Woodlands di sini pada Selasa kerana didapati membawa empat ketul bahan dipercayai ganja. Dalam kejadian 6.45 petang itu, kedua-dua suspek berusia 20 tahun ditahan bersama motosikal berpendaftaran Malaysia yang dinaiki mereka. Dalam kenyataan bersama pada Rabu, ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata seorang pegawai pusat pemeriksaan mendapati terdapat bonjolan luar biasa pada pakaian dua suspek dan melakukan pemeriksaan terhadap mereka. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati empat ketul dadah berkenaan dilekatkan di bahagian belakang dan hadapan tubuh mereka. Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada para pegawai CNB. Menurut kenyataan itu, suspek dan dadah berkenaan diserahkan kepada CNB untuk memudahkan siasatan. Dadah yang ditemui itu adalah seberat kira-kira 1.9kg dan bernilai lebih kurang S$62,000 di pasaran gelap. Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, seseorang yang disabitkan kesalahan mengimport lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati.