suria

Bekas Pelarian Kemboja Imbau Detik Terpaksa Puasa Senyap-Senyap

Halimah Muhammad.

SUNGAI BULOH: Setiap kali apabila tiba bulan Ramadan, perasaan Halimah Muhammad, salah seorang pelarian masyarakat Islam Kemboja yang mendapat perlindungan daripada kerajaan Malaysia pada 1989, pastinya bercampur baur.

Disebalik gelak tawa ibu kepada enam orang anak ini, terselit perasaan sedih apabila mengimbau kembali saat berpuasa di kampung halaman sendiri sebelum menetap di Malaysia sejak 26 tahun lalu.

Ada pepatah mengatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri tetapi pepatah itu disangkal Halimah.

Sebaliknya, Halimah memanjatkan rasa syukur kerana kehidupannya jauh berubah apabila menetap di sini.

Beliau berkata, mereka sekeluarga sudah tidak perlu takut untuk menunaikan ibadah puasa dan solat tarawih di bulan Ramadan.

"Kita bebas untuk melaksanakan tuntutan agama, tidak perlu takut dan sorok-sorok lagi. Di sini masjid ada dimana-mana, laungan azan pun boleh didengari. Kami rasa lebih selamat," katanya kepada mStar Online.

Berbeza dengan keadaan di Kemboja pada zaman remajanya dimana Halimah dan beberapa rakan beragama Islam yang lain terpaksa merahsiakan mereka sedang berpuasa.

KENANGAN... Hamidah (dua, kiri) bersama keluarga besarnya.

"Kami senyap-senyap sahaja apabila berpuasa, tak boleh tunjuk depan rakan-rakan lain. Kalau mereka tahu, mereka akan suap kami dengan makanan," katanya.

Jelas wanita berusia 60 tahun itu, apabila terkenang detik hitam itu, hatinya sayu kerana rakyat Melayu Champa di Kemboja ditindas oleh kerajaan sendiri yang zalim.

"Kami tidak dibenarkan pakai tudung, kami juga diejek. Siapa yang pandai akan dibunuh. Kita sedih apabila kerajaan sendiri menzalimi rakyatnya," kata Hamidah.

Pernah satu ketika, Hamidah berkata, ketua agama terpaksa datang ke sekolahnya untuk mengumumkan sambutan Aidilfitri.

"Ketua agama (Islam) datang ke sekolah mohon pelepasan bagi kita keluar untuk sambut  Hari Raya. Dekat Malaysia saya rasa dah nampak anak bulan tapi kita baru nampak pukul 10 pagi.

"Saya dan beberapa orang rakan, apa lagi melompat kegembiraan kerana dapat balik sekolah awal," katanya.

Sepanjang Ramadan, Halimah yang juga berniaga bersama suaminya berkata, cendol antara hidangan wajib masyarakat Cam ketika berbuka.

"Biasanya kita suka buat cendol kerana apabila puasa kita gemar manisan yang ada ais untuk kurangkan dahaga selepas seharian berpuasa," katanya.

Bagi menu sahur pula, beliau berkata, menu mereka sekeluarga tidak lengkap tanpa hidangan berkuah.

"Apabila sahur kena ada kuah. Biasanya saya akan buat asam pedas. Hidangan lain seperti kari kurang digemari kerana guna santan," katanya.


Kemboja, Halimah Muhammad, Ramadan

Artikel Lain