suria

Asam Jawa Penawar Sakit Tekak

Asam jawa penawar sakit tekak. Gambar Hiasan
ASSALAMUALAIKUM.  Cuaca panas di Tanah Suci Makkah dan Madinah menuntut kita supaya bersabar dan tidak menjadikannya alasan untuk berehat di dalam bilik penginapan semata-mata. Cuaca panas mendedahkan jemaah kepada pelbagai penyakit, terutama batuk dan sakit tekak sehingga menyebabkan serak atau suara hilang seketika.

Pada waktu ini, Madinah dan Makkah sedang panas dan kenalan saya yang tinggal di kota Makkah mengharapkan agar bumi Haramain itu dibasahi hujan walaupun sekejap. Suhu sekarang ini sudah mencecah lebih 50 darjah Celsius dan dijangka meningkat hingga hujung bulan depan.

Ketika berkunjung ke Tanah Suci di antara 28 Mei dan 7 Jun lalu, bahang kepanasan begitu dirasakan terutama di Madinah, khususnya pada waktu Zuhur tetapi di Makkan agak berkurangan bahang kepanasan itu walaupun suhu hampir sama. Pada waktu malam juga, kita akan terasa bahang kepanasan itu jika keluar dari masjid.

Tetamu Allah tidak menghiraukan cuaca panas di Makkah untuk berziarah dan ibadah. Gambar Hiasan

Namun, Alhamdulillah, kepanasan tidak dirasakan di dalam masjid dan ketika tawaf. Justeru, banyakkan beriktikaf di dalam masjid dan elak diri daripada terdedah dengan cuaca panas di luar.

Sewaktu membawa jemaah pada April 2010, cuaca panas begitu menyengat sehingga menyebabkan ramai jemaah demam panas, batuk, sakit tekak, hilang suara, kulit pada kaki dan tangan menggelupas. Saya sendiri mengalami serak akibat batuk.

Walaupun tidak sihat dan tubuh terasa lemah, saya terpaksa gagahkan juga demi tugas. Ubat dan vitamin tidak pernah saya abaikan. Alhamdulillah, ketika itu, suami turut menyertai, selain adik perempuan dan anak bongsu saya.Simpati dengan keadaan saya, suami banyak membantu menguruskan pakaian saya dan menasihatkan saya memberi keutamaan kepada jemaah yang sering mengharapkan bantuan dan membangkitkan pelbagai pertanyaan.

Kesibukan begitu ketara kerana pada masa yang sama, kru media dari stesen televisyen turut membuat rakan program yang akan disiarkan bersempena Ramadan pada 2010 sebanyak empat episod.

Jadi, tiada perkataan ‘rehat’ untuk saya ketika itu. Selain jemaah seramai 45 orang, kru media juga perlu dipantau untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan seperti direncanakan. Saya sebagai petugas tetapi di Tanah Suci, mutawif dan ustaz yang dipertanggungjawab memberi tazkirah kepada jemaah sedia menunggu kedatangan kami sejak di Madinah lagi.

Namun, saya sering menjadi perhatian jemaah terutama di dewan makan, apatah lagi jika ada yang sakit pening dan demam. Alhamdulillah, jemaah tidak banyak ragam dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh.

Jemaah lebih selesa berjalan kaki untuk menunaikan ibadah walaupun cuaca panas. Gambar Hiasan.

Ketika menyedari suara semakin hilang, saya segera bertanya kepada pekerja katering di dewan makan Hotel Zahret Kamil yang kami huni di kota Makkah.

“Suara saya makin serak. Boleh kamu belikan asam jawa. Saya mahu minum air asam jawa,” ujar saya pada jejaka bertubuh kecil dan berkulit kuning langsat.

“Ibu mahu asam jawa?” tanya jejaka itu.

“Ya. Kamu boleh belikan? Saya tiada masa mahu pergi kedai,” balas saya.

“Tidak perlu beli. Sekejap lagi saya bawa,” ujar jejaka itu prihatin.

“Terima kasih,” balas saya.

Setengah jam kemudian, jejaka itu datang menemui saya di dewan makan dengan satu peket besar  asam jawa yang tertera dari India.

“Terima kasih ye. Banyaknya. Berapa harga asam jawa ini?” tanya saya.

“Tidak perlulah. Murah sahaja. Ibu ambil saja,” jawab jejaka itu.

“Terima kasih,” balas saya.

Tanpa berlengah saya ke membancuh asam jawa itu dengan segelas air dan terus meminumnya. Alhamdulillah, terasa lega seketika. Saya berdoa agar diberi kesihatan yang baik demi tugas yang perlu digalas.Pada sebelah malam , saya minum segelas lagi air asam jawa selepas menikmati makan malam.

Esoknya, kesihatan saya semakin baik dan suara kembali pulih.Segala puji bagi Allah. Ketika bersarapan, saya lihat ramai jemaah yang terbatuk-batuk dan mengadu sakit kepala. Saya nasihatkan mereka agar minum banyak air zamzam dan tidak lupa makan ubat-ubatan.

“Hajah, suara dah baik ye. Makan apa?” tanya seorang jemaah lelaki. 

“Alhamdulillah haji. Semalam saya minum air asam jawa. Tapi yang menyembuhkan ialah Allah,” balas saya.

“Jemaah kita pun ramai yang sakit tekak dan demam hajah,” cerita tuan haji itu.

“Mungkin boleh minum air asam jawa juga kalua mereka mahu,” balas saya tertawa kecil.

“Betul tu hajah. Jika mereka mahu bolehkan. Tapi nak beli di mana asam jawa?” soal beliau lagi.

“Tak perlu beli haji. Budak katering beri saya satu peket besar. Insha Allah boleh kongsi dengan jemaah lain,” balas saya lagi.

Mendengarkan perbualan saya dan tuan haji itu, ada beberapa jemaah menghampiri dan memaklumkan bahawa waris mereka memerlukan asam jawa.

Usai solat Zuhur di Masjidil Haram, saya bergegas pulang ke hotel untuk memantau jemaah yang akan makan tengah hari.Selepas makan, seorang demi seorang jemaah yang mengalami masalah sakit tekak datang memghampiri dan meminta sedikit asam jawa.

“Hajah ada asam jawa lagi tak?” tanya mereka.

“Ada. Banyak lagi. Saya ada bawa juga ini. Nak ke?” tanya saya tersenyum.

“Nak. Untuk sakit tekak ni. Boleh tak hajah bancuhkan?,” tanya jemaah berkenaan.

“Nak saya buatkan ke?” tanya saya tertawa kecil.

“Kalau bolehlah,” ujar mereka pula.

“Boleh…apa salahnya,” balas saya.

Jemaah berkumpul sementara menunggu waktu solat. Gambar Hiasan.

Saya membancuh asam jawa itu di dalam pinggan dan memberi seorang demi seorang yang memerlukannya. Mereka kelihatan gembira ketika minum air asam jawa berkenaan. Tertawa dan bercerita walaupun dalam keadaan suara serak.Selepas minum air asam jawa mereka meminta saya memberi sedikit asam jawa untuk dibawa ke dalam bilik penginapan dan membancuhnya sendiri selepas makan malam. Mereka turut mengucapkan terima kasih sebelum berlalu meninggalkan saya di dewan makan.

Selepas makan, saya naik ke kamar hotel saya di paras sembilan untuk berehat seketika.

“Hajar demam,” ujar suami sejurus saya duduk di atas katil kamar hotel berkenaan.

“Dia dah makan ubat ke?” tanya saya.

“Tadi dah makan,” balas suami.

Saya memegang dahi Hajar dan sememangnya  anak saya berusia sembilan tahun itu demam. Wajahnya kelihatan pucat. Sesekali terdengar rengekannya. Saya meletakkan air zamzam pada wajah dan kepalanya. Hajar lantas terjaga dari tidur yang kurang lena.

Sekadar menurup sebahagian muka menahan panas ketika berada di Tanah Suci.

“Minum air zamzam banyak-banyak. Hajar mesti minum banyak air dan makan ubat,” pujuk saya. Hajar takut makan ubat dan perlu memujuknya berkali-kali. Dia mengangguk dan baring semula dengan mata separuh pejam.

Pada pagi itu, Hajar mengikut saya ziarah bersama-sama sekumpulan jemaah ke rumah keputeraan Rasulullah S.A.W yang kini dijadikan perpustakaan untuk rakaman program oleh kru media. Ketika ziarah, Hajar muntah dan sudah menunjukkan tanda-tanda kurang sihat.

Rakaman tidak lama dan sejurus pulang, Hajar berehat di dalam bilik dan saya tidak membawanya ke masjid kerana dia kelihatan lemah.

Esoknya, jemaah yang meminta asam jawa mendekati saya dan mengatakan tekak tidak perit lagi dan suara pun semakin jelas.

“Alhamudlillah. Allah yang menyembuhkan. Kita hanya berusaha dan berikhtiar untuk mencari penawar dan asam jawa membantu meredakan panas badan serta melenyapkan keperitan tekak,” balas saya tertawa kecil.

Bagi mereka yang bermasalah kulit pula saya nasihatkan agar menggunakan minyak zaitun. Jika tidak membawanya, bolehlah membeli minyak itu di farmasi berhampiran hotel penginapan. Kadangkala ubat-ubatan yang dibawa dari tanah air kurang berkesan dan adalah lebih baik jika membeli ubat-ubatan di farmasi di Tanah Suci Madinah atau Makkah.

asam jawa, mutawif, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain