KUALA LUMPUR: Anggota Rela yang mengarahkan seorang wanita memakai sarong bagi membolehkannya berurusan di kaunter Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) akan diberi pengiktirafan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presidennya Datuk Azih Muda berkata pengiktirafan itu akan diberikan kerana berpandangan anggota Rela berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang ditetapkan kerajaan. "Kami hanya ikut peraturan yang telah wujud lama dan dalam Pekeliling kerajaan pun ada disebut tentang etika pemakaian. "Cuepacs telah bersetuju nak beri sijil pengiktirafan kepada anggota berkenaan yang telah bertugas dengan cemerlang mengikut peraturan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs di sini, Khamis. Azih berkata sijil itu akan diberikan dalam masa terdekat dan pihak media akan dipanggil untuk membuat liputan terhadap anggota yang diberikan pengiktirafan itu. Katanya, dalam isu ini Cuepacs tidak bersetuju apabila ahlinya yang menjalankan tugas dipindahkan ke jabatan lain hanya kerana berita tersebut disensasikan oleh pihak tertentu. "Cuepacs tak setuju dia ditukar dalam masa 24 jam. Apa dosa dia? "Kita kena terima ini peraturan nak masuk rumah orang, tak boleh pakai sesuka hati," katanya. Beliau menjelaskan, peraturan yang ditetapkan adalah untuk tujuan murni, bukan untuk menghina sesiapa. "Tak ada siapa yang salah. Anggota Rela jalankan tanggungjawab dan pelanggan itu pun mungkin dia tak tahu (etika pakaian). Saya difahamkan dia pun reda disuruh pakai. "Yang salah mereka yang beri komen, yang mensensasikan perkara yang tak patut disensasikan," katanya. Pada 10 Jun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi berkata pengawal itu telah dipindahkan ke bahagian lain kerana dia bertindak sendirian dan bukan dengan arahan JPJ. Ab Aziz berkata pejabat JPJ mempunyai garis panduan yang sama mengenai etika berpakaian seperti yang dikeluarkan kepada semua jabatan kerajaan. Beliau bagaimanapun berkata tindakan drastik tidak harus dilaksanakan sekiranya ada pihak yang gagal mematuhi peraturan tersebut. Sebelum itu gambar wanita tersebut, Suzanna GL Tan memakai kain sarong di pejabat JPJ bagi memenuhi etika berpakaian yang dimuat naik ke Facebook menjadi viral. Dia diarah berbuat demikian kerana memakai skirt di atas paras lutut.