suria

Malim Gunung Lega Ramai Hulur Bantuan

Hasnin dan isterinya, Jewita Japi.

KOTA KINABALU: Nasib seorang malim gunung, Hasnin Kasim berubah apabila menerima sumbangan dan bantuan setelah kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal berikutan kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, awal bulan ini.

Persatuan Malim Gunung tampil memberi sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Hasnin, manakala Ahli Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin turut menghulurkan derma bagi menampung kehidupan dalam tempoh sukar itu.

Hasnin yang juga bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia terharu dengan sumbangan orang ramai kerana sedikit sebanyak membantu dalam menampung perbelanjaan keluarganya.

"Sekurang-kurangnya kami mampu membeli makanan serta barangan keperluan harian dengan sumbangan yang diterima.

"Ia sesuatu yang melegakan apabila mengetahui masih ramai lagi masyarakat yang sanggup membantu malim-malim Gunung Kinabalu," kata Hasnin.

Malim berusia 43 tahun itu juga berkata, dia kehilangan sumber pendapatan apabila gempa bumi yang berlaku itu juga menyebabkan penutupan kawasan Gunung Kinabalu.

Tambahan pula kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat gempa bumi itu juga memusnahkan kediamannya.

Rumah Hasnin rosak teruk akibat gempa bumi dan tanah runtuh baru-baru ini.

"Kami sebagai malim gunung berharap kepada pendaki gunung yang datang ke sini untuk mendapat sumber pendapatan dan tanpa mereka, kami tidak dapat menyara keluarga," katanya.

Hasnin sekeluarga kini menetap di rumah kakak iparnya di Kampung Cinta Mata selepas kejadian tanah runtuh pada 17 Jun lalu yang mengakibatkan kediaman mereka rosak teruk.

"Kami tidak mempunyai wang untuk membina semula rumah, tetapi saya akan cuba mencari jalan secepat mungkin supaya kediaman kami dapat dibina dan diperbaiki semula," katanya lagi.

Rumah Hasnin antara berpuluh-puluh kediaman yang berisiko untuk dihanyutkan atau musnah sekiranya berlaku lagi tanah runtuh di kawasan tersebut.

Sebuah rumah dilaporkan musnah akibat tanah runtuh tetapi tiada kecederaan dilaporkan berikutan tindakan anggota bomba yang memindahkan penduduk kawasan itu sehari lebih awal.



Gunung Kinabalu, Hasnin Kasim

Artikel Lain