suria

SKMM Bantu Siasatan Kebocoran E-Mel 1MDB, PetroSaudi

Ahmad Shabery Cheek.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan kebocoran e-mel PetroSaudi dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kami bukan sahaja bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa Thai tetapi memburu mereka yang menyebarkan maklumat salah.

"Sekiranya terdapat unsur sabotaj terhadap ekonomi kemudian tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata tindakan perlu diambil kerana terdapat media yang tidak bertanggungjawab, terutamanya media sosial dan blog yang penerbitan mereka menimbulkan kemarahan dan syak wasangka terhadap kerajaan.

Katanya, maklumat yang diperolehi menerusi Internet perlu disahkan dan tidak boleh dianggap betul dan akibatnya kerajaan dibicarakan oleh media, terutamanya di media sosial.

Ahmad Shabery diminta mengulas mengenai penahanan bekas eksekutif IT PetroSaudi, Xavier Justo di Thailand pada Isnin lalu.

Justo didakwa memberi maklumat tidak tepat kepada The Sarawak Report dengan sebahagian e-mel dan dokumen yang bocor seperti disiarkan dalam blog tersebut.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majalah The Edge dan pemiliknya, Tong Kooi Ong perlu bertanggungjawab kerana menyiarkan laporan tidak tepat dan fakta palsu itu.

Katanya, laporan dalam blog tersebut turut dilaporkan The Edge dan beberapa media lain.


SKMM, e-mel bocor, PetroSaudi, 1MDB

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan