KUALA LUMPUR: Pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi kini dilihat semakin intim. Setahun telah berlalu sejak dua panda gergasi itu tiba di Malaysia dan kedua-duanya "gembira dan selesa" berada di rumah kedua mereka, kata Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang. Beliau berkata, pakar-pakar di Zoo Negara cuba membantu pasangan ini mengawan untuk mendapatkan anak. "Bagaimanapun, setakat ini, ia tidak begitu berjaya. "Tetapi berita baiknya apabila kedua-duanya semakin intim berbanding sebelum ini, "katanya ketika melawat Pusat Pameran dan Pemuliharaan Panda Gergasi di Zoo Negara, di sini, Khamis. Menurut Dr Huang, ramai rakyat Malaysia sering bertanya kepadanya bila pasangan panda itu akan mempunyai anak. "Fu Wa masih terlalu muda dan memerlukan beberapa latihan. Kami harap mereka dapat mengawan tahun depan, sama ada secara semula jadi atau dengan bantuan pakar-pakar, " katanya. Pasangan panda itu akan berada di sini selama 10 tahun sebagai memperingati 40 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Pada 25 Jun tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuka pusat pemuliharaan itu dan mengumumkan nama yang diberikan kepada dua ekor panda oleh rakyat Malaysia. Fu Wa dinamakan 'Xing Xing', yang bermaksud kemakmuran, manakala pasangan betinanya Feng Yi dinamakan 'Liang Liang' atau cantik. Dr Huang berkata, sejak ketibaan panda tersebut, haiwan itu telah terbukti menjadi tarikan, menarik 365,000 pengunjung pada tahun lalu. Ditanya sama ada tempoh panda berada di sini boleh dilanjutkan, beliau berkata, Perdana Menteri China Li Keqiang telah menyebut bahawa ia mungkin boleh jika rakyat Malaysia mahukannya dan jika haiwan itu tidak sihat selepas 10 tahun. "Pada masa itu, umur panda akan bersamaan dengan usia 70-an dalam kehidupan manusia. Jika mereka dalam keadaan baik, penempatan mereka di sini boleh dilanjutkan. Jika tidak, kita boleh adakan program baru, " katanya. Mengenai kemungkinan China menerima tapir Malaysia, beliau berkata, haiwan itu dialu-alukan warga Cina.