Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi di Bukit Jelutong di sini, sepasukan polis terserempak dengan tiga individu dalam keadaan mencurigakan ketika membuat pemantauan, susulan aduan cubaan pecah masuk rumah oleh seorang penduduk di kawasan itu.
"Ketika polis cuba menahan mereka bagi melakukan pemeriksaan, dua daripada mereka telah menyerang anggota polis menggunakan parang dan anggota kami terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai ketiga-tiga suspek.
"Kesemua suspek mati di tempat kejadian. Bagaimanapun identiti dan kewarganegaraan mereka tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama suspek," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Turut dijumpai sepucuk pistol angin dan dua bilah parang, katanya.
Menurut Mohd Adnan, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai aktif melakukan rompakan di Shah Alam, terutama di kawasan Bukit Jelutong.
Berdasarkan statistik polis, dari Januari sehingga semalam, sebanyak 20 kes pecah rumah dilaporkan di Shah Alam dan 12 kes daripadanya berlaku di Bukit Jelutong.
"Polis percaya modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan memecah masuk rumah mangsa pada waktu awal pagi antara pukul 1 hingga 5 pagi," katanya.