suria

Proses Perlahan Untuk Bina Semula Kehidupan Di Kundasang

KOTA KINABALU: Nasib penduduk di tanah tinggi Kundasang Sabah masih tidak dapat ditentukan apabila Gunung Kinabalu terus dilanda gegaran susulan walaupun selepas tiga minggu gempa bumi melanda.

Usaha-usaha untuk mengembalikan gunung dan kaki bukit kepada keadaan normal sering terbantut dengan gegaran susulan yang berterusan, hujan dan tanah runtuh yang turut mengganggu kerja-kerja bantuan dan pembaikan.

Harapan untuk melihat gunung itu dibuka semula dalam tempoh tiga minggu selepas gempa bumi masih samar-samar dengan Taman Sabah mengatakan bahawa pihaknya akan mengambil masa dua kali lebih panjang berbanding tempoh yang dijangka.

Usaha-usaha menggantikan bangunan dan laluan rosak berhampiran puncak gunung untuk membaiki jalan raya, jambatan dan bekalan air di kaki bukit, semuanya melalui proses yang perlahan.

Sekurang-kurangnya lima bangunan di Ranau rosak teruk dalam gempa bumi 5.9 magnitud dan perlu dibina semula dari binaan asas.

Bangunan tersebut adalah masjid daerah, kuarters polis, sebuah blok hospital dan bangunan di sebuah sekolah rendah. Menggantikan bangunan-bangunan ini menelan kos sekurang-kurangnya RM80 juta.

Walaupun kerja-kerja pembaikan sibuk dilakukan, penduduk kampung di Kiau, Mesilau dan kawasan terjejas lain sekitar gunung itu cuba untuk membina semula kehidupan selepas tanah ladang dan rumah mereka rosak akibat banjir lumpur pada 15 Jun.

Timbunan bertan-tan lumpur, batuan dan bongkah batu serta pokok-pokok tumbang akibat gempa bumi itu merosakkan jalan raya dan jambatan di Mesilau, yang dikenali sebagai kawasan utama untuk tanaman sayur-sayuran tanah tinggi.

Turut menerima kesan adalah pengendali puluhan homestay, hotel dan chalet percutian di Mesilau dan bahagian lain di Kundasang.

Ada yang melaporkan perniagaan mereka terjejas sehingga 70 peratus menyebabkan pengendali terpaksa mengurangkan kadar yang ditetapkan sebelum ini.

Sebuah hotel di Kundasang mengurangkan kadar dari RM250 kepada RM190 untuk satu malam pada Jumaat. Namun begitu, hanya dua daripada 16 bilik yang diduduki.

Ahli geologi Profesor Felix Tongkul berkata gempa susulan akan berterusan untuk sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi.

Sehingga itu, dari penduduk di kaki bukit Gunung Kinabalu akan berdepan dengan sesuatu yang tidak pasti.
Kundasang, gempa bumi Sabah

Artikel Lain