suria

Tiada Lagi Kemanisan di Ladang Strawberi

KUNDASANG: Petani Kadazandusun, Jasumiah Jati adalah perintis dalam perladangan strawberi di kaki Gunung Kinabalu.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, ibu kepada enam anak berusia 49 tahun ini perlahan-lahan membina perniagaan strawberinya sehinggalah ia kemudian bertukar menjadi perniagaan hasil perladangan tanah tinggi yang berjaya.

Selepas gempa bumi pada 5 Jun, kejayaan yang dibina secara berperingkat itu semakin musnah.

Rumah dan ladangnya hampir runtuh ekoran kejadian tanah runtuh yang mencetuskan kerosakan besar-besaran terhadap struktur tanah.

"Saya rasa semuanya telah musnah. Saya tidak tahu jika saya sendiri boleh membinanya semula. Saya membuat pinjaman dan tanah saya kini telah diisytiharkan berbahaya, " kata Jasumiah yang berlinangan air mata selepas membuat laporan polis dan bercakap dengan pegawai bank mengenai pembayaran balik pinjaman yang menekan dirinya.

Ketika ramai memulakan penanaman strawberi dan gagal, Jasumiah menukar tanaman strawberinya dengan beberapa jenis tanaman dari Jepun dan Korea yang telah membuahkan hasil besar sejak beberapa tahun lalu, menarik ramai pengunjung.

Hujan lebat yang turun selepas gempa susulan 5.2 magnitud pada 12 Jun menyebabkan bongkah batu besar runtuh ke aliran Mesilau bertukar menjadi sungai tiga tingkat yang tinggi, serta meranapkan rumah dan menyebabkan rumah Jasumiah dan tiga yang lain di kawasan itu diancam keruntuhan.

"Saya tahu bahawa kami perlu berpindah kerana rumah dan ladang hanya menunggu masa untuk runtuh. Saya berharap Kerajaan akan memberi tanah alternatif. Mungkin, dengan bantuan anak-anak saya, saya boleh cuba dan membina semula perniagaan, "katanya.

Artikel Lain