KUALA LUMPUR: Satu lagi gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah pada 8.38 malam Sabtu. Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu terletak 11 kilometer dari barat Ranau. Berikutan gempa itu, gegaran turut dirasai di kawasan Ranau dan pihaknya sedang memantau perkembangan itu. Pada 1.35 tengah hari Sabtu, gempa bumi lemah berukuran 2.8 pada skala Richter melanda Ranau. Pada 5 Jun lepas, Ranau dilanda gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang menyebabkan 18 nyawa terkorban.