ALOR SETAR: Sebanyak 20 buah motosikal terbakar apabila sebuah pusat menyimpan minyak diesel terbakar di Kampung Permatang Pinang, Kuala Kedah di sini. Kebakaran pada Sabtu itu didakwa berpunca dari sebuah bilik sebelum api merebak dengan pantas. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, empat jentera bersama 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran. Kebakaran yang dipercayai bermula pada pukul 10 pagi itu berjaya dikawal sepenuh selepas setengah jam berlaku. Punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik bomba.