suria

MH17: Keluarga Mahu Siasatan Dipercepat

Pasukan penyiasat menjalankan siasatan di lokasi pesawat MH17 terhempas berhampiran Donetsk, Ukraine.

KUALA LUMPUR: Perit. Perkataan itu jelas menggambarkan perasaan Mohd Tarmizi Ismail setiap kali diajukan soalan sama berkaitan isterinya, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang terlibat dalam nahas pesawat MH17.

Kini hampir setahun, bapa kepada Alif Hazim, 3, dan Alif Haiqal, 9, mengakui masih tidak dapat membendung rasa kecewa dan sedih apabila 'diserbu' soalan yang memaksanya mengimbau kembali detik hitam yang berlaku 17 Julai tahun lalu.

"Saya bersyukur dikelilingi orang yang prihatin dan bertanyakan kehidupan kami anak-beranak.

"Namun setiap kali tabah untuk teruskan kehidupan, hati kadang-kala 'sakit' bila terpaksa ingat balik saat kejadian itu berlaku," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Hamfazlin Sham adalah antara 298 individu yang terkorban dalam nahas penerbangan MH17 semasa perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine turut melibatkan 44 warga Malaysia serta Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Istiadat penghormatan negara diadakan pada 22 Ogos 2014 bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata majlis ulang tahun pertama bagi memperingati mangsa tragedi MH17 akan diadakan pada 11 Julai ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Bercerita lanjut, Mohd Tarmizi berkata anak sulungnya sudah mula memahami ketiadaan Hamfazlin yang digelarnya 'ibu'.

"...cuma anak bongsu yang baru mula pandai bercakap asyik tanya 'mana ibu?' 'bila ibu nak balik?'," katanya, yang setiap minggu membawa anak-anaknya menziarahi pusara Hamfazlin untuk mengubati kerinduan.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mempercepatkan siasatan berhubung nahas itu dan kerap memaklumkan kepada anggota keluarga.

Sementara itu keluarga juruterbang MH17 Wan Amran Wan Hussin, semakin tabah mengharungi kehidupan dan reda dengan ketentuan Allah.

Menurut anak saudaranya, Amaluddin Noorshah, 49, beliau kerap menghubungi isteri dan anak-anak Allahyarham yang menetap di Shah Alam untuk memberi sokongan moral.

"Setiap kali mengadakan perjumpaan keluarga memang terasa kehilangannya lebih-lebih lagi kalau dah nak dekat raya, semua persiapan diuruskan arwah.

"Kami terima ujian ini, cuma kami harap laporan siasatan dapat diumumkan segera," katanya.

Sama ada Amaluddin mahupun Mohd Tarmizi, kedua-duanya mengharapkan orang yang disayangi mendapat pembelaan dan supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu dikenakan tindakan sewajarnya.

MH17, MAS

Artikel Lain