LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus membangun sebagai satu angkatan berwibawa yang boleh dibanggakan. Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan peralatan yang mampu mempermodenkan TLDM agar mencapai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan kemampuan tempur yang tinggi. "Apa sahaja yang kita buat untuk kebajikan anggota TLDM dan membina kemampuan TLDM sudah tentu keputusan tepat dan berbaloi," katanya selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM di sini, malam ini. Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan TLDM atas kejayaan pasukan keselamatan itu menawan semula kapal tangki MT Orkim Harmony yang ditawan lanun baru-baru ini. Beliau juga amat memahami tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul anggota TLDM untuk menjamin keselamatan dan keamanan tanah air. "Saya juga amat sedar bahawa tanggungjawab tuan-tuan amat berat tidak kira waktu dan masa, orang lain mungkin waktu Ramadan dan Hari Raya mereka boleh bersama keluarga tetapi sebahagian tuan-tuan sudah tentu akan berada di barisan hadapan untuk menjalani tugas. "Saya juga amat memahami bagaimana perasaan isteri tersayang dan anak tercinta yang tidak dapat berhari raya dengan suami dan bapa mereka kerana terpaksa menjalankan tugas agar rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman damai serta tidur lena. "Inilah yang dikatakan harga keamanan atau 'the price of peace' dan harga keamanan ini terpaksa kita bayar dan tuan-tuanlah yang sanggup membayar harga keamanan untuk (dinikmati) 28 juta rakyat Malaysia," katanya. Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi membangunkan semula Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM Lumut bagi menambah kapasiti jemaah. "Sebagai mengenang jasa tuan-tuan untuk nusa dan bangsa, malam ini dan pada bulan yang penuh barakah ini, saya rasa amat wajar saya umumkan kelulusan (peruntukan ini) dengan tujuan untuk membangunkan semula masjid TLDM supaya kapasiti lebih luas untuk menampung 3,000 orang kepada 5,000 orang selain mengindahkan lagi masjid ini supaya tuan-tuan dapat beribadah dengan lebih selesa," katanya. Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam ucapannya berkata bagi pihak pasukan keselamatan berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas RM500 kepada penjawat awam sempena Syawal. Selain itu, katanya sebagai tentera yang diamanahkan menjaga keamanan dan kedaulatan negara, mereka akan terus memikul tanggungjawab itu sehingga ke titisan darah terakhir. Terdahulu, seramai 3,000 warga TLDM turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama-sama Najib. Sebelum itu, Najib menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Afifah Batu 3, Segari. Majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.