suria

Penangguhan Pemilihan Umno Hasil Perbincangan Bersama

Datuk Seri Mohamad Hasan melepaskan konvoi sempena Pelancaran Program Agihan Kurma, Air Zam-zam dan Kain Baju Melayu Peringkat Negeri Sembilan pada Isnin. Turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. -fotoBERNAMA

SEREMBAN: Penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama anggota parti dari peringkat bahagian hingga Majlis Tertinggi (MT), kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan menafikan dakwaan kononnya penangguhan pemilihan ini dibuat kerana ia adalah satu taktik Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meraih sokongan.

"Bukan Najib yang usulkan, bahkan saya yang membawa perkara ini. Biarlah saya yang bertanggungjawab kerana saya katakan tidak perlu diadakan pemilihan kerana bila ada pemilihan kita akan berpecah.

"Keutamaan kita sekarang adalah nak menang pilihan raya... untuk kita pastikan Umno dan Barisan Nasional menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Kurma, Air Zam-zam dan kain Baju Melayu anjuran Biro Kebajikan Umno di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada Jumaat lepas, Najib mengumumkan MT mengambil ketetapan bahawa pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat serta usaha memperkukuhkan parti.

Mohamad berkata usul berkenaan penangguhan pemilihan Umno banyak dibincangkan di peringkat bahagian-bahagian dan dibawa ke dalam mesyuarat Umno.

"Jadi kita telah pertimbangkan suara-suara dan permintaan ini di peringkat MT, maka MT yang bersidang pada minggu lepas telahpun bersetuju sebulat suara untuk menangguhkan pemilihan tersebut dan dipersetujui oleh presiden," katanya.

Mohamad berkata tumpuan sekarang hendaklah diberikan kepada memperkukuhkan Umno dalam usaha untuk memastikan kemenangan Umno dan BN pada PRU14.

"Selalunya kalau ada pemilihan, kerja lain tak jadi, masing-masing asyik nak berkempen untuk jawatan-jawatan yang mereka nak tandingi.

"Jadi adalah sesuatu perkara yang tidak baik kepada Umno jika ahli dan kepimpinan Umno tidak menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan parti untuk  menghadapi pilihan raya umum tetapi masing-masing sibuk berkempen untuk pemilihan dalam parti," katanya.

Pada majlis itu, Umno Negeri Sembilan menerima 3,340 kilogram kurma, 3,340 liter air zam-zam dan 5,010 pasang kain baju Melayu yang akan diagihkan ke lapan bahagian.

Umno, Pemilihan Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain