suria

Selangor Jamin Perjanjian Air Dimuktamad Dalam Masa Terdekat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri itu akan dapat dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan hanya satu perkara lagi yang perlu diselesaikan.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu sedang cuba diselesaikan pihaknya dengan kerajaan Persekutuan setelah perbincangan lanjut dilakukan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) minggu lepas.

"Saya sudah jumpa menteri (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) untuk bincangkan tiga perkara yang masih dipertikai dan ia dapat diselesaikan.

"Namun satu saja perkara lagi belum dipersetujui kedua-dua pihak. Saya sendiri sudah berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk minta pandangan tentang pendekatan yang kita ambil dalam hal itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin enggan menyatakan perkara yang sedang cuba diselesaikan itu.

Pada 17 Jun lepas, kerajaan Persekutuan menggesa kerajaan Selangor meneruskan kerjasama bagi menjayakan penstrukturan dan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) seperti yang telah dipersetujui kepimpinan negeri sebelum ini.

Menurut Ongkili, sekiranya perjanjian tersebut masih tidak menemui jalan penyelesaian, kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Tindakan itu adalah susulan daripada penangguhan beberapa kali yang dibuat Mohamed Azmin termasuk kemungkinan membatalkan perjanjian tersebut pada Mac lepas atas alasan Putrajaya melanggar terma Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 Sept 2014.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan membina Projek Mitigasi 2 bagi mengalihkan bekalan air bersih dari kawasan utara Selangor ke selatan negeri itu.

Katanya, kerja tersebut yang dijangka siap pada September ini adalah bagi menampung permintaan tinggi bekalan air mentah di kawasan selatan Selangor selain mengelakkan daripada berlakunya catuan air.

"Kita alihkan air kerana kapasiti air di kawasan utara melebih permintaan dan menerusi projek ini, kita yakin dapat menangani masalah bekalan air pada masa depan.

"Cuma buat sementara waktu, bagi beberapa kawasan pada masa ini yang mengalami kekurangan bekalan, kita arahkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) terus salurkan air bersih kepada pengguna," katanya.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya turut membina tangki-tangki air di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan sebagai langkah jangka panjang menangani masalah tersebut.

Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain