suria

Rasuah: Dua Pekebun Sayur Cameron Highlands Ditahan

PETALING JAYA: Dua pekebun sayur termasuk seorang warga Bangladesh ditahan kerana terbabit kegiatan pencerobohan tanah di Cameron Highlands.

Penahanan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini seramai 21 orang.

Sisatan awal mendapati, rakyat Bangladesh berusia 42 tahun itu memiliki kepentingan sebanyak RM500,000 di sebuah syarikat di kawasan tanah tinggi itu.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, lelaki berkenaan sudah 10 tahun menetap di sini dan dipercayai memberi habuan kepada beberapa pegawai untuk memastikan kegiatan pencerobohan haram itu tidak dikenakan tindakan.

"Kami juga percaya beberapa tangkapan sebelum ini turut membabitkan perbuatan merasuah untuk mengelak dikenakan tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk melindungi pendatang asing tanpa izin dan memiliki racun rumpai secara haram.

"Semua suspek berjaya ditahan hasi kerjasama Majlis Keselamatan Negara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, Ops Sejuk yang dilancarkan selama dua hari berakhir Rabu mendedahkan wujudnya perbuatan rasuah di beberapa kawasan di Cameron Highlands termasuk Tanah Rata, Ringlet, Tringkap, Brinchang dan Kampung Raja.

Shukri berkata, suspek berusia antara 20 dan 68 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin.

"Kami akan memberi tumpuan kepada perbuatan rasuah, manakala aspek pencerobohan tanah dan pendatang asing tanpa izin akan dikendalikan agensi berkaitan.

"Isu ini berlarutan terlalu lama, oleh itu semua pihak berwajib perlu serius untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendedahkan pekebun sayun aktif menjalankan operasi penanaman di tanah seluas 41 hektar.

"Mereka membayar rasuah sehingga RM30,000 untuk mengelak dikenakan tindakan," katanya sambil menambah tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM kerana memberi rasuah.

SPRM menjalankan siasatan berhubung kegiatan ini sejak Disember lalu.

Tahun lalu, lima terkorban, manakala 90 lagi hilang tempat tinggal akibat banjir lumpur yang melanda Cameron Highlands susulan kegiatan pencerobohan tanah haram.

Berikutan itu, SPRM menempatkan anggotanya di beberapa agensi di Cameron Highland untuk memantau pegawai penguatkuasa serta pihak yang berurusan dengan mereka.



SPRM, Cameron Highlands, Bangladesh

Artikel Lain