KUALA LUMPUR: Jumlah kapal untuk misi pencarian pesawat Malaysa Airlines MH370 di kawasan laut dalam di selatan Lautan Hindi harus ditambah, bukannya dikurangkan. Pada masa sama, pakar penerbangan juga mahu peralatan mencari yang lebih baik digunakan dengan penambahan alat pengimbas serta metodologi pemetaan dasar laut yang baharu. Mereka memberi reaksi ini sebagai mengulas pengumuman Fasa Dua misi pencarian itu yang akan menggunakan dua kapal berbanding tiga sebelum ini. Ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universti Kuala Lumpur, Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, lebih banyak kapal seharusnya digunakan untuk mempercepatkan dan memperincikan usaha itu. Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff turut bersetuju dengan penggunakan lebih banyak kapal yang dilengkapi pengimbas dasar laut. "Ia boleh memastikan semua bahagian dalam kawasan pencarian dapat diteroka serta lebih cepat." Abdul Rahmat juga adalah penyiasat insiden serta Pengurus Kanan Korporat Sapura Kencana, syarikat pembekal perkhidmatan dan solusi minyak dan gas. Pada 18 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kapal Go Pheonix bakal menamatkan misi mereka. Hanya kapal Fugro Equator dan Fugro Discovery akan terlibat dalam Fasa Dua membabitkan kawasan pencarian seluas 60,000 kilometer persegi di dasar laut. Pesawat Malaysia Airlines itu membawa 239 penumpang dan anak kapal apabila ia hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada awal pagi 8 Mac tahun lalu. Ahli sains dan pakar penerbangan hanya bergantung kepada beberapa 'handshake' satelit untuk mengesan kawasan terakhir pesawat itu berada yang merangkumi kawasan seluas kira-kira 1.1 juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. Kerajaan Malaysia, China dan Australia bersetuju pada Mac lalu untuk meneruskan misi pencarian ke Fasa Dua. Abdul Rahmat berkata misi itu menggunakan peralatan yang sama dalam kerja penerokaan minyak dan gas di laut dalam. "Semua peralatan itu perlu diperhalusi atau alat baru dibangunkan untuk pencarian ini," katanya. Mohd Harridon berkata teknologi yang digunakan untuk pencarian itu tidak dapat membuat pemetaan yang menyeluruh dan ini mungkin menyebabkan sesuatu 'benda' terlepas pandang. "Dasar laut mempunyai banyak jurang yang dalam serta berbukit. Kenderaan laut dalam ketika ini menggunakan pengesan bias bunyi pelbagai sinar dan pengimbas sonar sisi untuk mewujudkan dimensi imej bagi dasar laut. "Alatan ini harus mempunyai pengimbas tambahan untuk mendapatkan imej yang lebih baik kerana proses pemetaan dihasilkan menerusi pembalikan bunyi, bukannya visual" katanya. Mohd Harridon berkata Pusat Oseanografi Nasional Universiti Southampton di Britain sudah memperkenalkan metodologi pemetaan yang lebih baik. "Peta itu dihasilkan menggunakan informasi dari topografi dan contoh lumpur di dasar laut," katanya. "Menggunakan data yang dikumpulkan daripada pengesan bias bunyi pelbagai sinar serta pengimbas sonar sisi, peta itu akan dianalisis untuk membahagikan dasar laut kepada beberapa zon. "Analisis statistik digunakan untuk mengenal pasti kawasan rupa bumi geomorfologi yang lebih jelas secara objektif dan berulang kali." Sementara itu, pesara Selamat Omar, bapa kepada penumpang MH370, Mohd Khairul Amri Selamat berkata,: "Pencarian itu tidak harus tertumpu kepada kawasan perairan. Mereka perlu melihat ke tempat lain juga." Maira Elizabeth, anak perempuan kepada Ketua Pramugara, Andrew Nari, berkata: "Kami sudah penat menunggu untuk hasil yang positif. Kami berharap ada cara lain untuk mengesan pesawat itu "Tapi kami juga faham kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mencarinya."