Dalam satu kenyataan pada Khamis, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda berkata syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia itu juga memberi keyakinan tentang langkah-langkah yang sedang diambil.
"Kami bersikap terbuka tentang cabaran-cabaran yang kami hadapi, menggariskan usaha-usaha kami untuk mengurangkan hutang syarikat seperti yang dibentangkan dalam pelan rasionalisasi kami, dan memberikan maklumat mengenai pelbagai langkah yang telah kami ambil termasuk pembayaran balik pinjaman RM3.6 bilion pada Jun lalu," katanya.
Fitch menyemak prospeknya terhadap Malaysia kepada stabil daripada negatif dan mengesahkan semula penarafan kredit asing jangka panjang dan kredit negara tempatan pada A- dan A.
"Tambahan pula, kenaikan taraf ini membuktikan kejayaan Kerajaan dalam memastikan kelangsungan kestabilan ekonomi negara.
"Kementerian Kewangan dan Bank Negara khususnya telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam memberi penekanan terhadap perkara-perkara positif tentang kisah kejayaan ekonomi kita," katanya.
Fitch berkata ia percaya kerajaan Malaysia menanggung liabiliti luar jangka tambahan melebihi jaminan yang jelas kerana operasi fiskal kuasi entiti milik negara, 1MDB.
"Fitch berpendapat terdapat kebarangkalian yang tinggi bahawa sokongan kerajaan untuk 1MDB akan berlaku jika diperlukan," kata agensi penarafan itu pada Rabu.