PETALING JAYA: Lembaga Keselamatan Belanda telah menyiapkan draf laporan berhubung pesawat Penerbangan Malaysia (MH17) dengan laporan akhir dijangka siap pada Oktober depan. Laporan sulit berkenaan dihantar kepada negara-negara yang terlibat dalam siasatan iaitu Malaysia, Ukraine, Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Australia dan Belanda pada 1 Jun. Negara-negara terbabit diberi tempoh sehingga 1 Ogos ini untuk membuat sebarang komen terhadap draf terbabit. Satu laporan berkata, draf itu mengandungi punca kemalangan serta sama ada pesawat itu sepatutnya diberikan laluan penerbangan, dan sama ada proses pelepasan maklumat penumpang dikendalikan dengan lebih baik. Ia juga akan membuat penilaian sama ada penumpang menyedari kemalangan itu - walaupun ia boleh memutuskan bahawa tidak ada maklumat cukup dan pasti. Draf itu juga mengandungi kesimpulan akhir daripada pasukan siasatan antarabangsa yang bekerja sejak tahun lepas untuk menentukan punca tragedi itu. Pesawat malang MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine setelah ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai lepas. Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine turut melibatkan 44 warga Malaysia serta Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.