suria

MERS-Cov: Rakyat Malaysia Diminta Tidak Melawat Ladang Haiwan

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti Sindrom Penafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) perlu mematuhi nasihat kesihatan dan mengelak mengadakan lawatan ke ladang haiwan terutamanya ladang unta.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara yang terlibat MERS-CoV termasuk Republik Korea.

"Adalah dinasihatkan juga agar mereka mengelakkan daripada minum air kencing unta atau susu unta mahupun daging unta mentah/tidak dimasak memandangkan buat masa ini pihak WHO masih lagi belum dapat mengenal pasti punca sebenar, cara jangkitan dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan atau ubat khusus untuk merawat penyakit ini," katanya.

Beliau berkata WHO melaporkan sehingga 27 Jun, sejumlah 1,357 kes yang telah disahkan MERS-CoV termasuk sekurang-kurangnya 485 kematian yang dilaporkan di semua negara-negara yang dijangkiti.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi potensi penularan jangkitan MERS-CoV di Malaysia di setiap peringkat fasiliti kesihatan.

Semua pintu masuk antarabangsa negara, katanya, telah diingatkan agar mengedarkan 'Kad Amaran Kesihatan' kepada pelawat yang tiba dari negara terlibat MERS-CoV yang mempunyai transmisi aktif seperti Timur Tengah dan Republik Korea.

Para pengamal perubatan juga perlu memberi penekanan kepada sejarah perjalanan pesakit supaya tiada kes pesakit disyaki MERS-CoV (PUI MERS-CoV) yang tidak diberi perhatian sewajarnya untuk tujuan isolasi, katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM melalui CPRC Kebangsaan akan terus memantau perkembangan penyakit tersebut dan akan memaklumkannya dari semasa ke semasa.

Unta, Timur Tengah, MERS-CoV

Artikel Lain