ASSALAMUALAIKUM. Sudah dua minggu umat Islam di seluruh dunia berpuasa. Ramadan penuh keberkatan terus mengimbau kenangan ketika menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci. Biarpun hanya sekali berpeluang mengerjakan umrah ketika Ramadan, kemanisannya tetap bertakhta di hati. Kata-kata daripada seorang warga Indonesia begitu berkesan dalam sanubari sehingga menyebabkan saya berfikir panjang selepas mengerjakan solat Asar berjemaah di Masjidil Haram sehingga kaki melangkah pulang ke hotel yang dihuni untuk beberapa hari. “Kamu dari mana?” tanya wanita berusia lewat 50-an ketika menyapa saya sewaktu kami menunggu waktu azan Asar berkumandang di dalam Masjidil Haram. “Dari Kuala Lumpur,” jawab saya ringkas sambil memandangnya yang sedang menutup kitab suci al-Quran. “Ibu dari Indonesia ya?” tanya saya lagi. “Iya. Dari Jakarta…” balas wanita berkenaan. “Ibu sudah ke Madinah?” tanya saya. “Sudah. Kamu sudah ziarah ke Madinah?” soal wanita itu lagi. “Alhamdulillah. Sudah selesai. Ibu datang ke sini sendirian?” tanya saya lagi. “Begitulah. Sendirian. Sudah 20 tahun tidak ke Tanah Suci. Alhamdulillah datang ke sini lagi untuk ibadat umrah,” jawab wanita berkenaan. Perbualan kami semakin rancak. “Kali pertama ibu datang ke sini untuk haji ya?” tanya saya pula. “Betul. Kali pertama datang ke sini untuk ibadat haji dan ketika itu usia saya sekitar 30-an. Sudah terlalu lama. Rindu pada Tanah Suci tetapi tidak diundang oleh Allah ke sini. Alhamdulillah, dijemput pada Ramdan. Saya benar-benar bersyukur…” ucap wanita itu sambil meraup wajahnya. Saya terus bertanya latar belakangnya. Beliau bekerja di sebuah institusi kewangan di Jakarta dan berusaha saban tahun menghimpun wang untuk merealisasikan impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci lagi selepas kunjungan pertama menunaikan ibadat haji. “Kamu duduk di hotel mana? Datang ke sini berapa orang?” tanya wanita itu. “Saya duduk di kawasan Shamia. Berhampiran hotel saya itu ada Restoran Imran. Saya datang bersama-sama ibu bapa dan anak sulung saya,” jawab saya pula. “Jauh atau dekat dari masjid. Di mana ya?” tanya beliau penuh minat. “Dalam 300 meter dari masjid. Keluar dari pintu Umrah, ikut laluan terus saja. Bagi saya tidak jauh tetapi kasihan pada orang tua saya, khususnya bapa saya yang sudah berusia lebih 70 tahun,” ujar saya kepada wanita berkenaan. “Alhamdulillah. Dekat. Tempat tinggal saya lagi jauh. Dalam 600 meter. Jika sudah datang waktu Asar, saya tidak pulang hingga selesai solat Terawih,” balas beliau. “Jauh sangat itu. Kasihan…” balas saya ringkas. “Jauh tetapi tidak apa-apa. Bukan masalah besar sebab Alhamdulillah Allah SWT sudah menjemput saya ke Tanah Suci setelah sekian lama tidak berpeluang menjejakkan kaki ke sini. Tambahan pula, sekarang ini Ramadan. Ganjarannya sudah tentu sangat lumayan. Jadi jauh itu soal kedua,” katanya panjang lebar. “Baiklah. Terima kasih ya. Mungkin saya saja yang bimbang bapa saya penat tetapi Alhamdulillah dia kelihatan bertenaga sahaja sehinggalah selesai solat Terawih,” balas saya. “Kamu ke sini bersama keluarga pertama kali?” tanya wanita berkenaan. “Kali pertama bersama ibu bapa dan Alhamdulillah dapat menyambut Ramadan. Saya sudah ke sini bersama-sama suami dan anak-anak dan sebelum itu sudah mengerjakan ibadat haji,” balas saya. “Alhamdulillah sudah beberapa kali sudah diundang ke Baitullah. Rezeki kamu dan keluarga,” ujar wanita berkenaan. “Alhamdulillah…” balas saya ringkas. Perbualan kami terhenti sejurus azan Asar berkumandang. Usai solat Asar, saya bersalam dan memeluknya dan sekali lagi mengucapkan terima kasih. Saya bersyukur kerana bertemu wanita itu yang saya anggap menyuntik semangat dalam diri saya agar sentiasa redha dengan setiap yang diperoleh di Tanah Suci. “Saya bersyukur kerana dijemput pada Ramadan. Terasa diri begitu bertuah kerana diundang oleh Allah sebagai tetamu-Nya ketika Ramadan. Bukan semua orang boleh mendapatkannya,” ujar wanita itu setelah kami selesai menunaikan solat jenazah. “Ibu tunggu hingga selesai solat Terawih ya?” tanya saya biarpun sudah mengetahui jawapan yang bakal diterima. “Insha Allah. Iktikaf di dalam masjid saja. Mahu pulang pun tidak ada sesiapa dan tiada apa-apa yang perlu dibuat. Tunggu saja hingga berbuka di sini. Makanan yang diberi pun sudah mampu menjadikan kita kenyang,” jawab beliau lagi. “Baiklah. Terima kasih. Insha Allah ada rezeki bertemu lagi,” balas saya sebelum meninggalkannya sendirian. Saya berjalan pulang ke hotel penginapan dengan pesanan yang sarat di dalam ingatan daripada wanita yang baru saya kenal. Beliau begitu bersyukur kerana diundang sebagai tetamu Allah setelah 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke Baitullah. Pesanannya terpahat dalam ingatan. Beliau redha dengan tempat tinggal yang jauh walaupun perlu berulang alik setiap kali selepas waktu solat Subuh dan Zuhur. Dia tidak menganggap hotel dihuni yang jauh sebagai penghalang untuknya beribadat pada bulan penuh barakah. Kisah wanita ini kerap saya ceritakan pada rakan-rakan yang mahu melangkah ke Tanah Suci dan jemaah yang duduk di hotel agak jauh dari Masjidil Haram. Tidak keterlaluan dikatakan, jemaah dari Malaysia sering bertanya hotel yang akan mereka huni untuk lapan atau sembilan hari di Makkah dengan bayaran pakej berpatutan. Ramai akan mengeluh hotel jauh dari Masjidil Haram sedangkan pakej yang dtetapkan sudahpun jelas menyatakan jarak di antara hotel dan masjid. Kadangkala mereka sukar membayangkan jarak berkenaan dan sering mengeluh apabila hotel yang mereka tinggal didapati terlalu jauh dari masjid sedangkala kadangkala tidak pula mengeluh penat apabila berbelanja di depan kawasan masjid. Saya turut bercerita pada ibu saya yang tidak mengikut solat berjemaah di masjid pada petang itu kerana begitu keletihan. Tidak lama selepas itu, bersiap-siaplah kami ke masjid untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah. Mata saya memerhati kawasan yang menjadi titik pertemuan antara saya dan wanita itu dengan harapan dapat bertemu kembali dan ingin sekali saya memperkenalkan ibu saya dengan wanita berkenaan. Namun, hampa kerana tidak terlihat oleh saya kelibat wanita itu. Mungkin beliau sudah duduk di tempat lain sementara menunggu waktu iftar. Saya tidak lagi mencari-cari wanita itu dan memilih ruang solat yang ada di depan mata. Usai iftar, kami pulang berempat ke hotel penginapan dan saya bertanya kepada ibu bapa apakah hotel yang kami duduk itu jauh atau tidak pada pandangan mereka. “Bapa tak penat ke jalan hari-hari ke masjid? Sekarang ini pula puasa…” tanya saya pada bapa yang bertongkat dan berjalan di kawasan Shamia. “Tak penatlah. Tak jauh pun hotel kita…” ujar bapa ringkas sambil tersenyum. “Tak jauhlah Ana hotel yang kita duduk sekarang ini. Dulu masa tahun 70-an ibu dan bapa pergi haji, kita duduk lagi jauh. Di kawasan Shamia juga tetapi atas lagi,” balas ibu pula merancakkan lagi perbualan kami anak-beranak. “Oh ye ke? Ana ingatkan dah jauh sebab puasa sekarang ini. Tentu ibu dan bapa penat kena jalan hari-hari nak pergi solat…” sambung saya pula. “Taklah. Kira dah dekat hotel ini dengan masjid. Lagi pun bukan kawasan berbukit. Jadi taklah penat berjalan,” ujar ibu lagi. Mendengarkan pengakuan mereka, saya terasa sangat lega. Alhamdulillah, mereka juga redha dengan setiap yang diperoleh di Tanah Suci dan bersyukur kerana dapat berkunjung ke Baitullah pada Ramadan selepas lebih 20 tahun tidak berkesempatan mengunjunginya.