suria

Cuaca Panas Kering Tidak Jejaskan Pengeluaran

KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering berikutan Monsun Barat Daya yang melanda negara sekarang dilihat masih belum menjejaskan pengeluaran sayuran dan buah-buahan tempatan.

Ketua Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata ini kerana dilihat dalam masa seminggu atau dua minggu ini hujan masih turun walaupun sedikit.

"Kita tidak menerima sebarang laporan tanaman terjejas. Ini kerana walaupun musim panas tetapi dalam seminggu masih ada hujan,"katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Tambahnya pengeluaran sayuran juga tidak timbul masalah kerana kebanyakan kebun terletak di kawasan berhampiran punca air seperti kolam dan sungai.

"Selagi air kolam itu tidak kering, tidak akan timbul masalah,"katanya.

Mengenai produk buah-buahan pula, Ahmad Zakaria berkata ia juga tidak mengalami masalah kerana kebanyakan buah telah berbunga dan ada yang telah mula gugur seperti durian.

"Buah lain seperti rambutan sudah mula berbuah tetapi masih belum banyak manakala musim mangga harumanis baru sahaja berlalu,"katanya sambil menambah tiada isu lambakan buah-buahan setakat ini.

Katanya terdapat juga buah-buahan yang akan menghasilkan produk lebih berkualiti dalam musim panas dan kering, seperti tembikai.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan pengeluaran produk boleh terjejas sekiranya musim panas kering yang berterusan sehingga lebih empat bulan, ditambah dengan tiada hujan seperti yang berlaku tahun lepas.

"Jika keadaan itu berlaku, kita akan membuat penilaian dan membantu para pekebun,"katanya.

Panas, Pertanian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain