suria

Pengawal Keselamatan, Dua Pegawai Akaun Disamun RM1.4 Juta

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan kerugian lebih RM1.4 juta selepas wang tunai yang baharu dikeluarkan dari sebuah bank disamun di Phileo Damansara, Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, dua pegawai akaun dan seorang pengawal keselamatan syarikat itu dalam perjalanan ke pejabat syarikat berkenaan di bangunan itu dari sebuah bank di Damansara Height.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata kesemua mangsa berumur antara 29 dan 35 tahun disamun di tingkat dua, di tempat meletak kenderaan di bahagian bawah bangunan syarikat terbabit.

"Mangsa didatangi dua lelaki disyaki warga tempatan yang memakai penutup muka dan bercermin mata, bertopi baseball yang telah menolak pengawal keselamatan (pengadu) dengan mengacukan senjata menyerupai pistol di kepalanya.

"Seorang lagi suspek telah menghantuk kepala rakan pengadu ke dinding sebelum mengikat tangan pengadu dan rakannya dengan menggunakan sejenis wayar kabel serta merampas tiga beg komputer berisi wang syarikat sebanyak RM1.4 juta," katanya ketika dihubungi.

Azmi berkata suspek turut melarikan wang tunai milik mangsa berjumlah RM1,500 serta tiga telefon bimbit.

Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang tidak dikenal pasti.

Menurutnya terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun tidak menghala ke tempat kejadian dan buat masa ini tiada saksi yang tampil untuk membantu siasatan.

Phileo Damanasara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain