KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menegaskan bahawa syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak pernah memberikan sebarang dana kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Terdahulu, Sarawak Report mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB menerusi pendedahan maklumat yang dibocorkan oleh bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.
Laporan Sarawak Report yang turut diubah itu digunakan untuk mengelirukan orang ramai mengenai isu 1MDB turut dipetik akhbar The Edge.
"Kenyataan baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya mengenai kebenaran beberapa dokumen ‘bocor’ oleh media tertentu, dan blog Sarawak Report," menurut kenyataan itu.
Menurut 1MDB, berdasarkan laporan akhbar, dokumen yang dibocorkan itu telah diubah dan digunakan Justo untuk memeras ugut bekas majikannya.
"Kami terkejut bahawa dokumen seperti ini, di mana kewujudan dan kesahihannya belum disahkan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas untuk membuat tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB," katanya.
Menurut 1MBD, mereka telah memberi kerjasama penuh terhadap Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara yang memulakan siasatan terhadap syarikat itu.
"Pihak berkuasa mempunyai semua maklumat yang berkaitan, dan IMDB meminta semua pihak menunggu hasil penemuan mereka sebelum membuat dakwaan lanjut dan penghakiman," katanya.